Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Zuhainy Zulkiffli


REMAJA lelaki berusia 16 tahun ditahan kerana disyaki mengugut dan mencederakan seorang lagi remaja di hadapan sebuah sekolah, dekat Bukit Mertajam, baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mohd Mustafa Bidin ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku pada 20 Februari.

Katanya, dalam kejadian pada 2 petang itu, mangsa lelaki berusia 16 tahun yang juga pelajar sekolah berkenaan sedang menunggu ibunya sebelum dihampiri suspek di hadapan pagar sekolah terbabit.

“Suspek yang tidak dikenali bertindak menarik baju dan beg sekolah mangsa hingga ke perhentian bas berhampiran sambil memberi amaran supaya tidak mencari masalah sekiranya tidak mahu sesuatu berlaku ke atasnya.

“Suspek kemudian menampar muka dan menendang perut mangsa dengan lutut menyebabkan remaja itu mengalami sakit di bahagian muka dan perut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai berpunca mangsa mengganggu pelajar perempuan yang juga teman wanita suspek di sekolah.

Katanya, suspek mendakwa mendapat tahu mangsa membaling kotak di badan teman wanita lelaki itu, menyebabkannya marah dan mencari mangsa di sekolah.

Menurutnya, ketika kejadian, suspek sudah menukar pakaian dan mencari mangsa di sekolah sebelum bertanya beberapa soalan sebelum memukul serta menendang mangsa.

“Kejadian itu pada mulanya tidak diketahui ibu mangsa sehinggalah rakaman video mengenai kejadian itu tular sebelum mereka membuat laporan Selasa lalu.

“Suspek ditahan pada 4.15 pagi semalam di Taman Kota Permai dekat sini.

“Polis turut merampas pakaian yang dipakai suspek semasa kejadian,” katanya.

Menurutnya, suspek direman bagi diambil keterangan dan sudah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 1:14 PM