Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Pertengkaran mulut mengakibatkan seorang lelaki warga asing cedera dibelasah sekumpulan individu di sebuah restoran di Jalan Cempaka, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa berusia 48 tahun berkenaan memaklumkan ketika berniaga di hadapan restoran itu, dia didatangi tiga lelaki warga asing termasuk seorang individu dikenalinya, pada 5.15 petang.

"Difahamkan suspek hadir dengan membawa sebatang besi serta cuba menarik topi keledar mangsa namun tidak berjaya.

"Suspek kemudian terus memukul mangsa di kepala tetapi terkena pada topi keledar menyebabkan lelaki berkenaan terjatuh dari motosikal.

"Suspek turut bertindak menendang serta mengugut mangsa dengan menyatakan bahawa dia tahu lokasi rumah lelaki terbabit dan akan kembali semula untuk membuat sesuatu terhadapnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kaki kiri serta kedua-dua belah tangan dan sudah menerima rawatan akibat kecederaan berkenaan.

"Punca kejadian itu dipercayai akibat pertengkaran mulut antara mangsa dan suspek sebelum ini yang berlarutan.

"Bagaimanapun, tiada laporan polis diterima berkenaan kejadian yang didakwa berlaku sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, pihaknya menahan seorang lelaki warga Pakistan berusia 24 tahun di Jalan Cempaka pada 3.40 petang, kelmarin.

"Suspek berkenaan direman selama empat hari bermula semalam hingga 5 Ogos nanti, manakala dua lagi rakan suspek yang masih bebas sedang dikesan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun keseksaan atas kesalahan mencederakan dan melakukan ugutan jenayah.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan terburu-buru atau mengikut perasaan jika ada sebarang kesalahan, sebaliknya membuat laporan polis supaya tindakan undang-undang boleh diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 6:06 PM