GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh

Klang: Seorang pereka aplikasi atas talian tergamak memukul muka dan menendang perut isterinya hanya kerana mangsa gagal menyiapkan kertas kerja diminta.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 28 tahun memaklumkan berlaku perselisihan faham antara dia dan suami di sebuah rumah di Taman Sentosa di sini, Sabtu lalu.

Menurutnya, mangsa mendakwa dipukul di bahagian muka selain perutnya ditendang mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menahan suspek lelaki warga tempatan berusia 27 tahun di Taman Sentosa di sini, , sekitar jam 10.50 malam, Sabtu lalu.

"Difahamkan, punca kejadian disebabkan isteri suspek gagal menyiapkan kertas kerja diminta," katanya tadi.

Mengulas lanjut, Hoong Fong memaklumkan suspek turut mengeluarkan kata ugutan yang mendatangkan ketakutan kepada mangsa.

"Hasil siasatan juga mendapati perbuatan ganas itu sudah banyak kali berlaku namun pengadu tidak membuat laporan polis.

"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau serta dadah," katanya.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 8:08 PM