VIDEO tular menunjukkan seorang lelaki dipukul sekumpulan individu termasuk wanita di luar pusat hiburan di Luyang Commercial Centre.
VIDEO tular menunjukkan seorang lelaki dipukul sekumpulan individu termasuk wanita di luar pusat hiburan di Luyang Commercial Centre.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis hari ini menahan enam lelaki dan wanita yang disyaki terbabit memukul seorang lelaki di luar pusat hiburan di Luyang Commercial Centre di sini, yang videonya tular di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada 5 petang, 1 Jun lalu dan mangsa lelaki membuat laporan mendakwa dipukul serta diugut individu tidak dikenali.

"Mangsa dipanggil keluar dari sebuah pusat hiburan oleh seorang wanita dan lelaki yang tidak dikenali.

"Ketika berada di luar, mangsa ditolak dan ditumbuk di bahagian muka serta ditendang di perut beberapa kali oleh suspek, hingga mengalami pendarahan di hidung dan kepala," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek kemudian menarik mangsa dan membawanya masuk ke dalam kereta untuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

"Ketika itu, suspek merampas semua telefon bimbit mangsa hingga rosak, manakala seorang lelaki mengeluarkan cota besi dan mengugut mangsa dengan mengatakan 'kalau kau mengaku semua akan selesai, kau masih keras kepala tidak mengaku'.

"Tiga suspek juga menumbuk dan menendang mangsa berkali-kali dan salah seorang suspek turut membuat ugutan hingga mangsa ketakutan," katanya.

Kalsom berkata, selepas membuat laporan polis, mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) dan keadaannya stabil.

"Bertindak atas maklumat, tangkapan telah dilakukan ke atas enam lelaki dan seorang wanita untuk siasatan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau percaya dengan tertangkapnya suspek, kes itu dapat diselesaikan dan orang awam dinasihat tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 11:39 PM