FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


SEORANG lagi anggota polis ditahan berhubung kes peras ugut dan rasuah sebanyak RM3 juta membabitkan penemuan makmal dadah di sebuah kondominium di Cheras, di sini, pada 12 Februari lalu.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berkenaan ditahan, semalam.

“Ada seorang lagi anggota polis ditahan untuk membantu siasatan kes berkenaan.

“Siasatan lanjut berhubung kes itu sedang giat dijalankan termasuk bagi mengesan wang berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Difahamkan wang RM3 juta itu belum dapat dikesan sehingga kini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan empat pegawai dan anggota polis terdiri daripada Inspektor dan Koperal bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor ditahan dalam kes berkenaan.

Empat suspek berkenaan dikatakan ditahan di IPK Selangor jam 9.45 pagi, kelmarin, ekoran laporan polis dibuat seorang ahli perniagaan Taiwan berusia 49 tahun berhubung kejadian peras ugut dan rasuah selepas dia ditahan dalam serbuan pembongkaran makmal memproses dadah.

Isnin lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim memaklumkan pihaknya menahan dua individu warga Taiwan, seorang warga China dan seorang warga tempatan berusia antara 30 hingga 49 tahun ditahan ekoran pembongkaran makmal memproses dadah itu.

Dalam serbuan berkenaan, polis merampas 1,426 pil ekstasi dan 27,546 gram ketamin selain menyita kenderaan serta wang tunai dianggarkan bernilai RM2.23 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 7:15 PM