Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Sindiket dadah yang menjadikan rumah di kawasan setinggan berhampiran lebuh raya sebagai makmal pemprosesan bahan haram itu, tumpas selepas polis menyerbu dua lokasi dan menahan enam lelaki.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata, ia ditumpaskan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang melancarkan operasi terancang pada 17 November lalu.

Katanya, operasi bermula 2.30 petang itu membanteras kegiatan memproses dan membungkus dadah jenis heroin, syabu dan ganja yang dipercayai untuk edaran pasaran tempatan.

"Serbuan pertama di Batu 3 1/2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan menahan tiga lelaki tempatan serta seorang lelaki warga asing berusia antara 24 hingga 38 tahun.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 58 kilogram (kg) dadah disyaki ganja, 11 kg heroin gred tiga, 181 gram heroin gred empat, 2.6 kg methamphetamine dan 50 kg kafein bersama peralatan memproses dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Yahaya berkata, serbuan kedua pula di Kampung Udara dekat Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia 21 serta 25 tahun.

"Warga asing yang ditahan itu positif syabu yang mana nilai rampasan dadah adalah RM419,920.

"Kita turut menyita tiga kereta iaitu Perodua Myvi, Perodua Alza dan Perodua Bezza. Mereka ini aktif sejak Julai lalu," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati kumpulan sindiket itu memilih lokasi berkenaan sebagai makmal bagi mengelak dikesan dan mengaburi mata pihak berkuasa.

"Semua suspek direman seminggu bermula 18 November lalu hingga esok dan akan disambung reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 4:13 PM
DCP Datuk Yahaya Othman bersama pegawainya menunjukkan rampasan sindiket memproses dadah jenis Heroin, Syabu dan Ganja sekitar Kuala Lumpur pada sidang media di IPK Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD
DCP Datuk Yahaya Othman bersama pegawainya menunjukkan rampasan sindiket memproses dadah jenis Heroin, Syabu dan Ganja sekitar Kuala Lumpur pada sidang media di IPK Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD