Raja Noraina Raja Rahim


Shah Alam: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan dua sindiket penyeludupan dan pemprosesan pelbagai jenis dadah berjumlah 297 kilogram (kg) dengan rampasan keseluruhan bernilai RM17.55 juta.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kejayaan itu hasil beberapa serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada Selasa dan Rabu lalu di Lembah Klang.

Dalam operasi pertama pada Selasa, beliau berkata, sepasukan JSJN melancarkan tujuh serbuan di beberapa lokasi di Lembah Klang dan menahan sembilan individu termasuk seorang wanita berusia 24 hingga 46 tahun.

"Polis merampas 354 ketulan heroin base (belum diproses) dengan anggaran berat 134 kg dan 101 bungkusan plastik disyaki syabu seberat 104 kilogram bernilai RM15.2 juta. Dadah itu dianggarkan untuk kegunaan 9.28 juta orang penagih.

"Hasil siasatan, sindiket ini menyeludup masuk bekalan dadah ke Malaysia dari Selatan Thailand melalui jeti haram di Kelantan. Suspek menggunakan perkhidmatan penghantaran kontena dan parcel melalui jalan laut serta udara untuk menyeludup dadah ke luar negara.

"Sindiket mula aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak Februari lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Pelbagai jenis dadah dan kelengkapan makmal yang dirampas ketika sidang media sindiket penyeludupan dadah dan pembongkaran makmal dadah haram dalam dua operasi berasingan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Pelbagai jenis dadah dan kelengkapan makmal yang dirampas ketika sidang media sindiket penyeludupan dadah dan pembongkaran makmal dadah haram dalam dua operasi berasingan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, polis menyita pelbagai aset sindiket antaranya lapan kereta, dua motosikal, barang kemas dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM881,353.68.

Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga esok bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berhubung kes kedua, beliau berkata, JSJN Bukit Aman dan Selangor mengesan sebuah makmal memproses dadah jenis ketamin di Rawang, Selangor dan menahan lapan ahli sindiket serta merampas dadah bernilai RM2.35 juta.

"Kesemua suspek yang ditahan iaitu tiga lelaki tempatan, empat lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita tempatan berusia 26 hingga 47 tahun itu dipercayai aktif menjalankan aktiviti berkenaan sejak dua bulan lalu.

"Semasa serbuan, polis menemui 22.015 kilogram dadah jenis ketamin dan 37.15 kilogram cecair disyaki ketamin. Polis turut merampas pelbagai peralatan dan bahan kimia digunakan untuk memproses dadah," katanya.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis ketamin manakala seorang mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita empat kenderaan bernilai RM126,100.

Suspek direman selama tujuh hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 2:28 PM