GUAN Eng tidak terbabit dengan sebarang keputusan berkenaan penstrukturan semula atau keputusan yang berkaitan dengan UJ. FOTO Malai Rosmah Tuah & Eizairi Shamsudin
GUAN Eng tidak terbabit dengan sebarang keputusan berkenaan penstrukturan semula atau keputusan yang berkaitan dengan UJ. FOTO Malai Rosmah Tuah & Eizairi Shamsudin
Mahaizura Abd Malik

URUSHARTA Jamaah Sdn Bhd (UJ) menafikan dakwaan Kementerian Kewangan tidak bertanggungjawab menutup hotel Lembaga Tabung Haji (TH) serta memberhentikan pekerjanya.

UJ dalam kenyataannya berkata, sebagai sebahagian pelan untuk menggiat dan memperbaiki prestasi aset yang diperolehi, UJ menubuhkan anak syarikat milik penuh, UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM) bagi meneruskan operasi empat hotel berkenaan.

“UJ menafikan segala dakwaan palsu dan berniat jahat mengenai Kementerian Kewangan atau Menterinya Lim Guan Eng yang dikatakan tidak bertanggungjawab menutup hotel TH dan seterusnya memberhentikan pekerja hotel berkenaan.

“UJ juga mengutuk segala tuduhan palsu di media sosial yang memfitnah Guan Eng termasuk satu ugutan bunuh.

“Menteri Kewangan tidak terbabit dengan sebarang keputusan berkenaan penstrukturan semula atau keputusan yang berkaitan dengan UJ malah beliau juga tidak menghadiri sebarang mesyuarat berkaitan,” katanya.

Kenyataan itu menjelaskan, pengurusan UJ dan aset di bawahnya ditadbir oleh Lembaga Pengarah UJ yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.

“Ahli-ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif Izad Sallehuddin dan barisan pengurusan kanan UJ terdiri daripada golongan profesional beragama Islam,” katanya.

Katanya, TH menunjukkan pemulihan dengan mengaut keuntungan RM1.3 bilion untuk sembilan bulan pertama tahun lalu dengan pelan penstrukturan itu.

“Dengan pakej pemulihan bertujuan melindungi kepentingan penyumbang TH dan membantu TH kembali stabil, TH tidak perlu lagi menanggung kerugian aset bernilai RM10 bilion kerana ditanggung oleh UJ dan kerajaan Malaysia.

“TH tidak perlu lagi menanggung beban dan risiko kerugian berterusan ke atas aset yang dipindahkan ini. Pada masa sama, jumlah aset juga menunjukkan penambahan dengan melebihi liabiliti pada jumlah RM2.3 bilion,” katanya.

Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula TH dilakukan bagi memastikan kesinambungan dana TH berikutan liabiliti TH melebihi asetnya.

Kelmarin, TH dalam kenyataan dibuat bersama UJ memaklumkan empat hotel di bawah seliaan TH Hotel and Residence Sdn Bhd (THHR) diambil alih UJ berkuat kuasa, 1 April ini sebagai satu daripada Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula TH.

Mereka turut memberi jaminan, sebanyak 90 peratus kakitangan THHR akan terus bekerja di bawah rantaian hotel baharu dinamakan Raia Hotel manakala bakinya diserap THHR Kelana Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 5:16 PM