LALUAN Pantai Kampung Kolam Batu Rakit yang rosak dipukul ombak besar sudah dibaiki pihak bertanggungjawab. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
LALUAN Pantai Kampung Kolam Batu Rakit yang rosak dipukul ombak besar sudah dibaiki pihak bertanggungjawab. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


KEJADIAN ombak besar berikutan angin kencang menyebabkan sebahagian besar tebing di laluan pantai Kampung Kolam, Batu Rakit di Kuala Nerus, runtuh, malam semalam.

Fenomena itu dijangka akan berterusan sehingga 12 Februari ini selepas amaran angin kencang dan laut bergelora dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sejak 8 Februari lalu.

Tinjauan Harian Metro ke kawasan itu mendapati tebing di laluan itu runtuh, tetapi sudah dibaik pulih selain terdapat papan tanda amaran air melimpah dipasang sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, kejadian ombak besar itu bermula pada 9.50 malam semalam hingga awal pagi hari ini.

“Kejadian ombak besar itu menyebabkan air melimpahi ke atas jalan iaitu dari jalan Kampung Kolam, Batu Rakit ke pantai Pengkalan Maras dengan jarak lebih kurang 500 meter.

“Tiada kerosakan pada kediaman dan tiada kecederaan kepada pengguna jalan raya, laluan itu ditutup sementara sehingga keadaan terkawal bagi menjamin keselamatan pengguna,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Che Adam berkata, fenomena itu dijangka berlarutan sehingga 12 Februari ini, malah bertambah buruk sekiranya berlaku serentak dengan hujan lebat.

“Justeru, saya menasihatkan orang ramai terutama pengguna dan penduduk berhampiran laluan pantai itu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

“Orang awam juga dinasihatkan tidak terlalu teruja berkumpul di tepi pantai untuk menyaksikan fenomena ombak besar itu,” katanya.

Menurutnya, sepanjang Pantai Miami di Seberang Takir juga mengalami fenomena yang sama.

“Jika ombak terlalu besar dan air melimpahi jalan, langkah keselamatan akan diambil segera dengan menutup laluan itu kepada orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit Bazlan Abd Rahman berkata, kawasan yang mengalami kerosakan terbabit sudah tiga kali dibaik pulih.

Menurutnya, pihak berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu menjalankan kajian terperinci bagi menyelesaikan hakisan itu.

“Laluan pantai itu mengalami kerosakan sama sebanyak tiga kali walaupun sudah ditambak batu.

“Kajian terperinci daripada pelbagai aspek perlu dilakukan dengan segera supaya masalah hakisan tidak berterusan dan membabitkan perbelanjaan yang besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 4:59 PM