Faizul Azlan Razak

Kuala Nerus: Seorang pengusaha chalet di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini, menanggung kerugian lebih RM150,000 akibat hakisan pantai yang berlaku di kawasan berkenaan.

Kejadian terbaru yang merosakkan rumah penginapan berlaku pada empat hari lalu yang menyebabkan tanah runtuh selain tangki air runtuh dan benteng pemecah ombak dibawa ke laut.

Pemilik chalet, Abdul Wahab Othman, 63, berkata, fenomena air pasang besar sudah berlaku sejak 26 Januari lalu dengan ketinggian ombak mencapai tiga meter.

Menurutnya, dia menyedari hakisan yang berlaku sehingga menyebabkan kerosakan chaletnya dan hampir runtuh pada Isnin lalu.

"Pada Februari tahun lalu, saya sudah kehilangan sebuah chalet dan pagar dibawa arus ke dalam laut selain banyak kerosakan struktur chalet yang lain.

Abdul Wahab menunjukkan hakisan yang berlaku terhadap chaletnya di Kampung Tanjung Batu Rakit. FOTO FAIZUL AZLAN RAZAK
Abdul Wahab menunjukkan hakisan yang berlaku terhadap chaletnya di Kampung Tanjung Batu Rakit. FOTO FAIZUL AZLAN RAZAK

"Bagi menyelamatkan chalet runtuh, saya menghabiskan lebih RM10,000 untuk kerja-kerja menambak pasir dan batu bagi menghalang hakisan semakin teruk.

"Apa yang membimbangkan saya adalah kejadian air pasang besar ini akan merosakkan chalet dua tingkatnya yang berada berhampiran," katanya yang ditemui.

Abdul Wahab berkata, dia mula membuka chalet itu pada 2003 dan setiap tahun berdepan dengan fenomena air pasang besar.

Menurutnya, akibat kejadian itu juga perniagaannya merosot sehingga 30 peratus apabila pelanggan takut untuk menginap di chalet berkenaan.

"Setakat ini, lima keluarga dari Segamat, Johor dan Kota Bharu, Kelantan yang sudah menempah chalet ini terpaksa membatalkan tempahan akibat dari hakisan ini.

"Kita hanya menutup chalet yang terkena hakisan saja, manakala yang lain masih beroperasi seperti biasa," katanya.

Sementara itu, pengusaha ikan kering, Manan Ali, 69, turut terkesan dengan fenomena air pasang besar apabila sebahagian bangsalnya runtuh ditelan ombak.

Menurutnya, segala peralatan seperti tandas rosak selain tempat menjemur ikan kering juga 'hilang' akibat air pasang besar yang berlaku tengah malam Isnin lalu.

"Bangsal saya sekarang semakin tahun makin dekat dengan laut dengan jarak 50 meter saja berbanding sebelum ini dan setiap kali monsun timur laut, banyak kerosakan akan berlaku.

"Kalau mahu ikutkan rugi lebih RM20,000 selepas empat kali berlaku. Kejadian baru-baru ini menyebabkan saya kerugian lebih RM5,000 saja dan kerja-kerja baik pulih akan dilakukan sebaik berakhirnya monsun timur laut ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 3:01 PM