Zaid Salim


Kuala Nerus: Pembinaan pulau tiruan atau lagun dikatakan langkah terbaik perlu diambil kerajaan bagi mengatasi isu hakisan pantai di daerah ini yang semakin buruk.

Meskipun pembinaan pulau tiruan atau lagun memerlukan peruntukan besar, tindakan itu dikatakan dapat menyelamatkan kawasan pantai yang belum terhakis daripada mengalami hakisan akibat ombak besar pada musim monsun timur laut setiap tahun.

Menyedari hakisan berlaku itu sebagai lumrah alam, penduduk berharap kerajaan dapat menyelesaikan dengan segera memandangkan isu hakisan itu dikatakan berlarutan hampir 10 tahun.

Penduduk mendakwa langkah kerajaan menambak kawasan pantai terhakis dengan batu tidak begitu berkesan, malah ia semakin teruk apabila hakisan baru akan berlaku di kawasan pantai tidak ditambak.

Pengusaha chalet, Fauzi Muda, 52, dari Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini, berkata jika kaedah itu terus digunakan, tidak mustahil isu hakisan akan berlarutan sehingga ke Pantai Merang.

Katanya, dia bimbang jika kerajaan tidak melakukan tindakan betul dalam menangani masalah itu, kawasan pantai berhampiran chalet miliknya di kampung berkenaan hanya mampu bertahan paling lama setahun.

"Ini kerana hakisan pantai ini akan berjangkit ke kawasan baru setiap tahun.

"Berpandukan apa yang berlaku sekarang, bermula dari pantai kawasan Pantai Tok Jembal, pantai di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kampung Tengah, Kampung Kolam dan Kampung Tanjung Gelam kemudian merebak ke Kampung Mengabang Telipot dan kini pantai Kampung Pengkalan Maras.

"Kampung Tanjung bersebelahan Pengkalan Maras dan tidak mustahil selepas ini, giliran penduduk di kawasan pantai ini pula mengalami keadaan itu," katanya ketika ditemui di kawasan pantai berhampiran chaletnya, hari ini.

Hakisan berlaku itu bukan sahaja memusnahkan keindahan pantai, malah memusnahkan kediaman, chalet, premis perniagaan, kemudahan lain seperti wakaf dan tandas serta pokok dan jalan raya.

Peniaga makanan, Salbiah Kadir, 54, dari Kampung Pengkalan Maras, berkata, dahulu jarak kedainya dengan pantai kira-kira satu kilometer tetapi sekarang hanya tiga meter sahaja.

"Setiap kali tiba musim tengkujuh, saya tidak dapat tidur lena kerana bimbang dengan keselamatan kedai berikutan ombak besar.

"Jika isu hakisan ini tidak diselesaikan dengan segera, saya bimbang premis perniagaan ini akan hilang dipukul ombak," katanya.

Tinjauan Harian Metro di sepanjang pantai bermula Kampung Kolam hingga ke Kampung Tanjung Batu Rakit sejauh kira-kira lima kilometer petang hari ini mendapati, beberapa premis seperti kedai makan dan chalet hanya menunggu masa untuk runtuh disebabkan hakisan.

SEBAHAIAN kawasan pantai di Pengkalan Maras runtuh dibadai ombak. FOTO Zaid Salim
SEBAHAIAN kawasan pantai di Pengkalan Maras runtuh dibadai ombak. FOTO Zaid Salim

Malah, ada kediaman persendirian sebahagiannya sudah runtuh dan kerosakan berlaku disebabkan timbunan pasir dibawa arus disebabkan fenomena air padang besar.

Tinjauan mendapati kerja penambakan batu dilakukan di kawasan pantai Pengkalan Maras.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 9:32 PM