MOHD Mussahar (kiri) melihat kerosakan bahagian dapur rumahnya selepas kejadian ombak dan angin kencang melanda Kampung Nenasi Pantai, Pekan, malam tadi. FOTO Mohd Rafi Mamat.
MOHD Mussahar (kiri) melihat kerosakan bahagian dapur rumahnya selepas kejadian ombak dan angin kencang melanda Kampung Nenasi Pantai, Pekan, malam tadi. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat


FENOMENA air laut pasang besar dan angin kencang malam tadi mengundang kejadian hakisan pantai lebih teruk hingga merosakkan rumah penduduk Kampung Nenasi Pantai, Pekan.

Turut musnah dalam kejadian kira-kira jam 10 malam ialah jalan berturap sepanjang lebih 100 meter terletak di pesisir pantai berkenaan.

Penduduk, Mohd Mussahar Ibrahim, 30, berkata fenomena air pasang besar serta angin kencang yang menyebabkan ombak kuat itu dikatakan berlarutan selama tiga jam sebelum ia berakhir pada 1 pagi.

Beliau berkata, dia hanya mampu melihat ombak besar menghempas bahagian dapur rumah papan tempat dia sekeluarga berteduh sejak lebih 30 tahun lalu.

“Angin kencang menyebabkan ombak besar dan pada waktu sama fenomena air laut pasang besar berlaku serentak, kejadian tiga serangkai itu jarang berlaku di kawasan ini.

“Bahagian dapur rumah saya kini hanya menunggu masa sahaja untuk runtuh disebabkan hakisan,” katanya, hari ini.

Mohd Mussahar yang juga nelayan berkata, pada tahun lalu aktiviti menahan hakisan menggunakan guni pasir dilakukan, namun usaha itu tidak dapat bertahan lama apabila kini guni berkenaan pecah dan tidak lagi dapat menghalang ombak.

“Saya tidak menolak kemungkinan bahagian dapur rumah saya termasuk jalan berturap akan runtuh sepenuhnya malam ini sekiranya fenomena air pasang, ombak besar dan angin kencang terus berlaku.

“Saya kini hanya mampu berdoa supaya kejadian malam tadi tidak terus berulang bagi mengelak lebih banyak harta benda penduduk dan kemudahan awam musnah,” katanya.

Beliau berkata, hakisan pesisir pantai itu turut menyebabkan saluran paip membekalkan air bersih kepada penduduk di kawasan pantai kini kelihatan berada permukaan pasir hingga membimbangkan penduduk di situ.

Pengusaha chalet di Kampung Tanjung Batu, Pekan, Edde Firdaus Abd Aziz, 39, berkata beliau berharap kerajaan segera melaksanakan projek benteng atau pemecah ombak seperti dijanjikan sebelum ini bagi memastikan kejadian hakisan tidak terus berlaku.

“Tidak mustahil hakisan pantai lebih teruk berlaku secara berterusan selepas ini disebabkan faktor angin kencang selain perubahan cuaca semasa walaupun tanpa fenomena air pasar besar.

“Keadaan ini menyebabkan hakisan pesisir pantai secara berterusan di sepanjang pantai itu dan akan memusnahkan lebih banyak kemudahan awam seperti jalan berturap selain rumah penduduk,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Arif berkata, pihaknya sudah membuat permohonan projek pemecah ombak daripada kerajaan Pusat bagi mengatasi kejadian hakisan, tahun lalu.

“Saya berharap permohonan terbabit dapat segera diluluskan bagi memberi peluang agensi bertanggungjawab melakukan kajian seterusnya tindakan sesuai untuk mengatasi masalah terbabit.

“Kejadian hakisan pantai serius berlaku setiap tahun di daerah ini berpunca daripada beberapa faktor seperti angin kencang dan fenomena air laut pasang besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 6:24 PM