Kerja-kerja penambakan giat dijalankan akibat tanah runtuh pada tengah malam tadi di pantai Kampung Kolam, Mengabang Telipot. FOTO Ghazali Kori
Kerja-kerja penambakan giat dijalankan akibat tanah runtuh pada tengah malam tadi di pantai Kampung Kolam, Mengabang Telipot. FOTO Ghazali Kori
Aslina Abu Bakar


BENTENG sepanjang 400 meter di Kampung Kolam, Mengabang Telipot, Kuala Nerus runtuh selepas dibadai ombak setinggi 2.5 hingga 3.5 meter kira-kira 12.30 tengah malam tadi.

Keadaan itu menyebabkan laluan berdekatan terpaksa ditutup kepada semua kenderaan.

Penduduk Muhamad Suffla A Latif, 38, berkata, hampir 10 nelayan terpaksa memindahkan bot yang diletakkan di pesisir pantai ke tempat yang lebih selamat kerana bimbang runtuhan berlaku lebih teruk.

"Kejadian hakisan di sini berlaku sejak beberapa minggu lalu, namun ekoran daripada fenomena air pasang besar, hakisan menjadi semakin teruk sehingga mengakibatkan tanah runtuh hingga ke jalan raya.

"Sebelum ini, jarak pantai dengan jalan raya sejauh 500 meter tetapi sejak malam tadi hakisan teruk berlaku sehingga semua batu-batu yang ditambak sebelum ini jatuh dan dihanyutkan ombak," katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, hakisan dan runtuhan itu bukan saja menjejaskan nelayan, malah merisaukan penduduk dan peniaga yang menjalankan perniagaan berhampiran pantai.

"Saya harap pihak berwajib memikirkan jalan penyelesaian yang lebih baik kerana kebanyakan penduduk tidak berpuas hati dengan penggunaan saiz batu yang tidak sesuai untuk kerja penambakan sekaligus tidak mampu menampung kekuatan ombak.

“€œKami bimbangkan keselamatan penduduk dan orang ramai kerana lokasi ini juga menjadi tumpuan pelancong untuk berkunjung," katanya.

Sementara itu, tinjauan ke lokasi berkenaan hari ini mendapati kerja-kerja penambakan untuk menahan ombak sedang giat dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 5:21 PM