Ekhwan Haque Fazlul Haque


“RASA syukur tidak terhingga kerana akhirnya saya bersama rakyat Malaysia yang lain dibawa pulang dengan selamat,” luah Reen, 27, rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari wilayah Hubei susulan penularan wabak koronavirus baharu.

Dia bersama 133 individu masing-masing 107 rakyat Malaysia, 12 kru pesawat, lapan petugas misi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) dan enam pegawai Kedutaan Malaysia di China tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi ini.

Menurut Reen, sebelum proses bawa pulang itu, rakyat Malaysia sudah diminta berkumpul lebih awal di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe, Wuhan oleh Kedutaan Malaysia di China untuk memudahkan proses dokumentasi dan imigresen bagi keluar dari republik itu.

Katanya, kira-kira 5 petang semalam, dia dimaklumkan kerajaan China memberikan permit kebenaran perjalanan kepada rakyat Malaysia yang perlu ke lapangan terbang ekoran penggantungan pengangkutan di wilayah berkenaan.

PENERBANGAN Air Asia yang membawa rakyat Malaysia dan pasangan serta anak pulang dari Wuhan di Wilayah Hubei. FOTO Ihsan Pembaca.
PENERBANGAN Air Asia yang membawa rakyat Malaysia dan pasangan serta anak pulang dari Wuhan di Wilayah Hubei. FOTO Ihsan Pembaca.

“Sebaik mendapat kebenaran, saya dibawa menaiki kereta oleh saudara keluarga suami dari Xiangyang terus ke lapangan terbang untuk menyelesaikan proses dokumentasi.

“Kebanyakan rakyat Malaysia yang pulang tinggal di luar Wuhan menyebabkan ada antara mereka yang perlu mengambil masa sembilan jam untuk tiba di lapangan terbang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Reen berkata, sebaik tiba di KLIA pada 6 pagi hari ini, mereka perlu menjalani prosedur saringan pemeriksaan yang ketat untuk memastikan tiada simptom koronavirus.

“Saya merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia yang menguruskan perjalanan pulang rakyat Malaysia dengan teliti dan lancar untuk memastikan mereka yang dibawa pulang selamat,” katanya.

Dia juga memaklumkan mereka berkemungkinan dikuarantin selama 14 hari sebelum benar-benar disahkan bebas wabak dan dibenar pulang.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 1:18 PM