SUAMI isteri diikat dalam kes samun di Taman Lotak Wira, Jalan Stephen Yong, Batu Kawa, Kuching awal pagi tadi. FOTO Norsyazwani Nasir
SUAMI isteri diikat dalam kes samun di Taman Lotak Wira, Jalan Stephen Yong, Batu Kawa, Kuching awal pagi tadi. FOTO Norsyazwani Nasir
Oleh Norsyazwani Nasri


SUAMI isteri diikat dan barangan berharga mereka dilarikan penjenayah dalam kejadian samun di Taman Lotak Wira, Jalan Stephen Yong, Batu Kawa di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi itu penjenayah melarikan barangan kemas seperti rantai emas, cincin, subang mutiara dan subang emas, kereta Toyota Altis dan Toyota Vios serta dua telefon bimbit.

Bagaimanapun, mangsa Kong Yun Hui,38,dan Wong Sing Mei,30, bernasib baik kerana tidak dicederakan dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah mangsa, suspek seramai empat orang bertopeng serta bersarung tangan dilihat masuk melalui tingkap tandas di tingkat atas rumah.

“Terdapat pagar besi lama di luar rumah yang dijadikan sebagai tangga untuk naik ke tingkat atas.

“Suspek turut menggunakan tong gas untuk memecahkan pintu bilik tidur mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, terdapat enam CCTV di rumah mangsa yang baru siap proses pengubahsuaian itu.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengesan suspek,” katanya.

#kw samun, ikat, batu kawa

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 7:08 PM