Kajang: Dua lelaki yang aktif melakukan kegiatan langgar dan samun di Lebuhraya SILK di sini, dipercayai daripada kumpulan sama menyasarkan individu yang memandu berseorangan di kawasan berkenaan pada awal pagi dan tengah malam.

Dalam kejadian terbaru Jumaat lalu, dua individu menjadi mangsa apabila kereta Toyota Vios milik mereka dilarikan penjenayah terbabit.

Difahamkan, setakat ini, tujuh kejadian direkodkan di lebuh raya berkenaan iaitu suspek menyasarkan kereta jenis Toyota Camry, Toyota Vios dan beberapa kenderaan pacuan empat roda.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Abdul Ghani Muhammad Ji berkata, dalam kejadian Jumaat lalu, seorang ahli perniagaan berusia 28 tahun menjadi mangsa kumpulan itu di kawasan berhampiran Bukit Belimbing, di sini.

Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 7.15 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Seri Kembangan menuju ke tempat kerjanya di Balakong.

“Mangsa memandu berseorangan sebelum keretanya dilanggar dari belakang oleh kereta Toyota Altis berwarna biru dinaiki suspek.

“Mangsa berhenti di tepi lebuh raya untuk memeriksa kerosakan sebelum dua suspek menghampirinya,” katanya.

Beliau berkata, seorang suspek menumbuk pipi kirinya sebelum mereka melarikan diri menggunakan kereta milik mangsa.

“Susulan itu, mangsa menghubungi rakannya sebelum melaporkan kejadian di Balai Polis Kajang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam satu lagi kejadian pada hari sama, seorang wanita berusia 21 tahun turut menjadi mangsa.

“Mangsa yang memandu kereta Toyota Vios dilanggar dari belakang oleh kereta Proton Waja.

“Seorang lelaki berusia lingkungan awal 20-an datang menghampiri dan menolak mangsa sebelum melarikan kenderaan berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 6:47 AM