KESAN geledah dalam bilik mangsa. FOTO Ihsan Polis.
KESAN geledah dalam bilik mangsa. FOTO Ihsan Polis.
Garret Dawum


GURU wanita, ibu dan bapanya menempuh detik cemas apabila diikat menggunakan wayar pengecas telefon dan baju kurung oleh empat penjenayah dalam kejadian samun di Beratok, Padawan, 3.10 pagi hari ini.

Ketika kejadian guru berusia 36 tahun itu sedang tidur bersama ibu, manakala bapanya berada dalam bilik berasingan.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, empat lelaki bersenjatakan pisau menceroboh rumah mangsa menerusi tingkap dapur.

Beliau berkata, tiga suspek memakai topeng manakala seorang lagi rakan mereka hanya memakai topi.

“Mangsa memaklumkan semua suspek memakai pakaian gelap iaitu baju lengan panjang, seluar panjang dan bersarung tangan.

“Antara barang dilarikan suspek ialah sebuah kereta Nissan Almera warna putih, iPhone 5s, Ipad, rantai emas, cincin emas, telefon jenama Huawei, I-Watch dan wang tunai RM2, 000,” katanya ketika dihubungi.

Aidil berkata, kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Setakat ini, kereta mangsa sudah dijumpai oleh pasukan rondaan Serian di kawasan kebun Tebedu, Serian pada 6 pagi tadi.

“Kes masih disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 4:11 PM