POLIS menahan suspek di sebuah rumah di Taman Everbright, Batu Kawa.FOTO Ihsan PDRM
POLIS menahan suspek di sebuah rumah di Taman Everbright, Batu Kawa.FOTO Ihsan PDRM
Mohd Roji Kawi

SELEPAS 32 jam menjadi buruan polis, suspek kes bunuh di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Baru Kawa di Padawan, semalam, berjaya diberkas pagi tadi.

Suspek berusia 25 tahun itu ditahan anggota peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di sebuah rumah di Taman Everbright Batu Kawa kira-kira jam 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, anggota peronda berjaya mengesan suspek selepas terserempak kereta Perodua Viva yang dipercayai digunakannya ketika kejadian, awal pagi semalam, diletakkan di depan rumah itu.

Beliau berkata, anggota peronda terbabit kemudiannya memanggil penghuni rumah itu dan tidak lama selepas itu, dua lelaki keluar.

“Anggota peronda kemudiannya membuat temubual terhadap kedua-dua lelaki itu dan mendapati salah seorang daripada mereka adalah suspek yang dikehendaki bersangkut kes bunuh di RPR Batu Kawa.

“Anggota peronda terbabit kemudiannya menahan suspek dan rakan serumahnya yang berusia 37 tahun serta merampas beberapa barang kes dan ketika ditahan, suspek tidak melawan atau cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aidil berkata, ketika ini pihaknya masih berusaha mengesan pisau yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu.

Katanya lagi, semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau membabitkan dua kes mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, dua kes mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan masing-masing satu kes mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dab Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kira-kira 3.40 pagi semalam, mangsa berusia 37 tahun ditemui meninggal dunia di depan sebuah premis kedai kopi di RPR Batu Kawa.

Aidil berkata, semakan kamera litar tertutup (CCTV)di premis berkenaan mendapati mangsa membawa suspek membonceng motosikalnya sebelum dia menikam mangsa di dada kiri dan rusuk sebaik sahaja mereka meninggalkan premis berkenaan.

Selepas menikam mangsa, suspek kemudiannya melarikan diri dengan sebuah kereta Perodua Viva berwarna gelap yang diletakkan berdekatan kedai kopi itu manakala mangsa sempat lari ke kaki lima kedai sebelum rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan beberapa saksi, sebelum kejadian itu, suspek mengajak mangsa ke Bandar Baru Batu Kawa dengan menaiki motosikal mangsa.

“Dendam dikenal pasti motif pembunuhan itu apabila suspek dipercayai marah dengan mangsa yang didakwa pernah memecahkan keretanya,” katanya.

Katanya lagi, semakan turut mendapati mangsa mempunyai 12 rekod jenayah lampau termasuk Kanun Keseksaan, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Penagih Dadah 1983 dan Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Maut ditikam pembonceng motosikal

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 4:15 PM