Sekatan jalan raya JPJ di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Kampung Bukut Tunggal, Kuala Terengganu malam tadi. Foto Zaid Salim
Sekatan jalan raya JPJ di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Kampung Bukut Tunggal, Kuala Terengganu malam tadi. Foto Zaid Salim
Zaid Salim

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengenakan tindakan dan saman terhadap 1,058 kenderaan atas pelbagai kesalahan sempena Ops Tahun Baru Cina (TBC) 2020 bermula 18 Januari lalu.

Pengarah JPJ Terengganu Zulkarnain Yasin berkata, pihaknya memeriksa sebanyak 14,317 kenderaan dalam operasi selama dua minggu itu.

“Pada Ops TBC 2019, sebanyak 1,546 kenderaan dikenakan tindakan dengan saman dikeluarkan sebanyak 1,419,” katanya ketika sidang media khas sempena Ops TBC 2020 yang diadakan di sekatan jalan raya Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Kampung Bukut Tunggal, Kuala Terengganu malam tadi.

Menurutnya, kereta mencatatkan jumlah tertinggi dikenakan tindakan iaitu sebanyak 334 kes diikuti motosikal (434), kenderaan barangan (204), kenderaan persendirian (80), lima bas dan satu lain-lain kenderaan.

“Sebanyak 11 motosikal dan sebuah kereta disita serta kes membabitkan penyamaran dalam bas ekspres sebanyak enam kes,” katanya.

Zulkarnain berkata, penyamaran dalam bas ekspres selain rondaan secara berkala di Jalan Persekutuan dan negeri serta Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) memberi kesan terhadap penurunan peratus kesalahan pada operasi tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 12:22 AM