KUALA TERENGGANU 06 FEBRUARI 2019 Anggota dan pegawai  Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa kenderaan di satu sekatan jalan raya yang diadakan sempena Ops TBC 2019 di jalan Kuala Berang ke Kuala Terengganu. STR/ZAID SALIM
KUALA TERENGGANU 06 FEBRUARI 2019 Anggota dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa kenderaan di satu sekatan jalan raya yang diadakan sempena Ops TBC 2019 di jalan Kuala Berang ke Kuala Terengganu. STR/ZAID SALIM
Zaid Salim


AKIBAT menggunakan telefon pintar ketika memandu, dua pemandu bas ekspres dikenakan saman oleh penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menyamar sebagai penumpang.

Kedua-dua pemandu bas berusia antara 40 hingga 50 tahun itu dikesan melakukan kesalahan itu ketika dalam perjalanan dari arah Kuala Berang ke Kuala Terengganu pada Khamis dan Isnin lalu.

Kesalahan itu adalah antara 767 saman yang dikeluarkan JPJ Terengganu dalam tempoh enam hari Operasi Tahun Baru Cina (Op TBC) bermula 29 Januari lalu.

Op TBC 2019 membabitkan seramai 72 pegawai dan anggota dilakukan dengan menyasarkan penurunan kes kemalangan membabitkan motosikal kepada 60 peratus sepanjang operasi.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Mat Yasin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan sepanjang Op TBC yang akan berakhir pada 12 Februari ini.

“Op TBC 2019 akan berakhir pada 12 Februari ini. Namun JPJ akan sentiasa melakukan operasi pada setiap masa bagi mengesan pesalah jalan raya.

“Tiada kompromi terhadap setiap kesalahan dilakukan. Tindakan tegas sama ada saman atau menyita kenderaan akan dilakukan JPJ bergantung kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Menurutnya, sehingga 3 Februari lalu, pihaknya memeriksa sebanyak 3,731 kenderaan membabitkan motosikal (1,233), kereta (262), lain-lain kenderaan persendirian (457) dan bas (238).

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya terutama pemandu bas ekspres supaya sentiasa mematuhi undang-undang terutama memandu mengikut had laju yang ditetapkan dan tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 6:11 PM