ANTARA Pengayuh beca yang menunggu detik sambutan ambang Tahun Baharu 2020 di perkarangan Dataran Pahlawan, Banda Hilir. FOTO Rasul Azli Samad
ANTARA Pengayuh beca yang menunggu detik sambutan ambang Tahun Baharu 2020 di perkarangan Dataran Pahlawan, Banda Hilir. FOTO Rasul Azli Samad
Amir Mamat

KERAJAAN negeri Melaka melalui Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) merencana 15 acara utama pelancongan bagi memeriahkan Tahun Melawat Malaysia (TMM) tahun ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, antara acara utama yang dirancang termasuk Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM), Melaka By The Sea Carnival, Melaka Nature & Indigenous Fiesta, Melaka International Food Festival (MIFF) serta Festival Seni Selat Melaka (FSSM).

Beliau berkata, semua acara berkenaan akan diadakan di seluruh negeri.

“Kita bertuah kerana pada tahun ini kerajaan Persekutuan memberi kepercayaan kepada Melaka menjadi satu daripada negeri dalam promosi TMM2020 selain Pahang, Sabah dan Sarawak.

“Ia dilihat platform terbaik untuk kerajaan negeri terus mempromosi negeri bersejarah ini ke persada antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2020 peringkat negeri di Dataran Menara Taming Sari, Banda Hilir, malam tadi.

Pada majlis itu, Muhammad Jailani turut melancarkan program Visit Truly Asia Malaysia 2020 dan Calendar Of Event (COE) Melaka 2020.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Dr Wong Fort Pin; Pengurus Besar BPP, Zairi Suboh dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka,Azlan Bidin.

Mengulas lanjut, Adly berkata, Visit Truly Asia Malaysia 2020 adalah program terbaharu dalam siri kempen TMM.

Katanya, inisiatif yang mendapat persetujuan dan pengiktirafan daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu dilancarkan sejajar dengan Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia bagi menyahut sasaran 30 juta pelancong ke negara ini.

“Justeru, saya berharap kepada penggiat industri pelancongan supaya dapat bersama-sama mengambil peluang ini dan berganding bahu memajukan sektor pelancongan serta menarik kedatangan pelancong ke Melaka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 10:56 AM