DATUK Mohd Amar Nik Abdullah. FOTO Bernama
DATUK Mohd Amar Nik Abdullah. FOTO Bernama
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan Kelantan mengesahkan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri yang didedahkan pihak tertentu baru-baru ini adalah dibenarkan dan berlesen.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, aktiviti pembalakan berlaku sejak sekian lama memandangkan ia adalah sebahagian hasil kepada kerajaan negeri.

"Walaupun pembalakan dibenarkan, namun ia terikat dengan peraturan dan tidak boleh melebihi catuan tebangan tahunan (CTT) yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

"Pada masa sama, syarikat yang melakukan aktiviti pembalakan ini perlu mematuhi peraturan iaitu kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

"Justeru, semua yang kita lakukan di HSK Nenggiri adalah mengikut peraturan ditetapkan dan Kelantan juga tidak pernah membuat tebangan balak melebihi CTT ditetapkan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco, di sini, hari ini.

Mohd Amar berkata, aktiviti pembalakan tidak perlu diperbesarkan kerana ia bukan perkara baru sebaliknya sudah berlaku sejak sekian lama dan menjadi pendapatan kepada kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak menafikan berlaku kecurian balak di Kelantan namun perkara itu akan disiasat oleh Jabatan Perhutanan sekiranya mendapat laporan.

"Isu curi balak bukan saja berlaku di Kelantan sebaliknya di semua negeri. Jika ada laporan kecurian, kita akan siasat dan ambil tindakan.

"Bila berlaku kecurian, tidak patut Menteri Besar atau kerajaan negeri yang dipersalahkan. Sebagai contoh anak yang mencuri, takkan kita boleh kata ayahnya yang salah sedangkan anak mencuri, begitu juga dengan isu curi balak," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa yang juga bekas Exco negeri mendedahkan kompartmen 26 di HSK Nenggiri diwartakan sebagai hutan dara perlindungan namun diluluskan untuk pembalakan kepada anak syarikat kerajaan negeri Kelantan, Daulah Najah Sdn Bhd.

Beliau mendakwa, wujud kes 'kecurian' balak di kawasan bersebelahan iaitu kompartmen 25 yang membabitkan anggaran kerugian sehingga RM5 juta.

Mengulas mengenai kecurian kompartmen 25, Mohd Amar berkata, pihaknya difahamkan Jabatan Perhutanan sudah menyita balak terbabit untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 3:27 PM