bot yang disita APMM. FOTO Ihsan APMM
bot yang disita APMM. FOTO Ihsan APMM
Adnan Ibrahim


KEGAGALAN mematuhi syarat lesen ditetapkan, sebuah bot nelayan tempatan disita Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Tanjung Sedeli di Kota Tinggi, petang semalam.

Pengarah APMM Zon Tanjung Sedeli, Kepten (Maritim) Mohd Zulfadli Nayan berkata, bot berkenaan yang dikategorikan dalam Kelas C ditahan pihaknya ketika sedang menunda pukat kira-kira 7.8 batu nautika di Timur Laut Tanjung Siang, jam 1 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan juga mendapati bot nelayan berkenaan dikendalikan seorang tekong dengan empat orang awak-awak warga Indonesia berusia 47 hingga 48 tahun.

“Semua warga Indonesia itu didapati tidak mempunyai permit dikeluarkan Ketua Pengarah Perikanan. Semua tahanan termasuk bot kemudiannya ditunda ke Jeti APMM Zon Tanjung Sedeli untuk siasatan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen kerana menangkap ikan kurang dari 12 batu nautika.

"Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM 20 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Zulfadli, bagi kesalahan menggaji pekerja asing, tekong berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 yang membolehkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau

penjara 12 bulan atau keduanya sekali bagi setiap pekerja yang diambil," katanya.

"Tindakan pengusaha bot yang tidak mematuhi syarat sah lesen yang diberikan ini akan merosakkan ekosistem laut sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan lain khususnya nelayan pantai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 2:12 PM