LOMBONG bauksit sekitar Felda Bukit Goh. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
LOMBONG bauksit sekitar Felda Bukit Goh. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
Asrol Awang


MENTERI Besar, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail mengesahkan aktiviti perlombongan bauksit boleh dimulakan pada bila-bila masa.

Katanya, ketika ini, kerajaan negeri meminta operator yang berminat mengusahakan aktiviti itu mengemukakan permohonan secara rasmi.

“Operator berkenaan perlu mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

“Kerja perlombongan bauksit di Pahang kini sedang menunggu masa untuk dimulakan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan syarahan utama pada program Lead Pahang dan perasmian Institut Kepimpinan Strategik Tun Ghazali Shafie di Kompleks Yayasan Pahang, Kuantan, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang Datuk Mahmud Mohd Nawawi; Pro Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tan Sri Dr Arshad Ayub dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Tan Sri Dr Ghauth Jasmon.

September tahun lalu, media melaporkan proses saringan teliti terhadap permohonan lesen melombong bauksit dilakukan kerajaan negeri bagi mengelakkan insiden pencemaran berpunca kerja pelombongan berulang.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dilaporkan berkata, pengoperasian semula perlombongan bauksit tertakluk kepada kerajaan negeri dengan kementeriannya sudah menyediakan SOP baharu dalam perlombongan dan pengeksportan yang wajib dipatuhi.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga mempunyai persefahaman dengan Kerajaan Persekutuan bahawa kerja perlombongan akan diteruskan.

“Permohonan kebenaran melombong sudah diterima daripada pelombong yang berminat dan kita sedang meneliti jika mereka bersedia melaksanakannya,” katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri menubuhkan Pasukan Penguat kuasa Bersepadu yang menggabungkan semua agensi penguatkuasaan di bawah Setiausaha Kerajaan Pahang bagi mengurangkan ketirisan sumber di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 4:53 PM