Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam membendung aktiviti perlombongan haram.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan tadi berkata, siasatan masih dijalankan untuk memastikan sekiranya terdapat sebarang pengeluaran bahan nadir bumi di tapak Kompartmen 411, Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis, Pahang.

Beliau menjelaskan bahawa kenyataannya di Dewan Rakyat Isnin lalu, adalah berhubung aktiviti perlombongan haram di kawasan hutan simpan di daerah Lipis.

"Kompartmen 411, Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis sudah dikenal pasti sebagai tapak perlombongan haram pada Mac 2023.

"Ini kerana hasil siasatan mendapati bahawa penemuan alatan dan barang-barang makmal yang digunakan menunjukkan kawasan tersebut adalah untuk melombong unsur nadir bumi (REE)," katanya.

Pada sidang Dewan Rakyat Isnin lalu, Nik Nazmi ketika menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur), berkata kira-kira 16,000 tan nadir bumi oksida dilombong secara haram di beberapa negeri di Malaysia dan dieksport ke China.

Nik Nazmi dilaporkan berkata perlombongan haram itu dijalankan di hutan simpan di Sik, Kedah; Lipis, Pahang; Pengkalan Hulu dan Kuala Kangsar, Perak; serta di tanah milik persendirian di daerah Meranti dan Jelebu, Negeri Sembilan.

Kelmarin Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menafikan berlaku pengeluaran unsur nadir bumi bukan radioaktif secara haram di kawasan hutan simpan di daerah Lipis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 1:01 PM