TEMPAT perlomboongan bauksit yang dikorek oleh pelombong di Kuantan. FOTO Luqman Hakim Zubir
TEMPAT perlomboongan bauksit yang dikorek oleh pelombong di Kuantan. FOTO Luqman Hakim Zubir
Oleh Asmah Rusman dan Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Empat langkah akan diambil oleh kerajaan negeri Pahang bagi mengatasi masalah bauksit yang menyebabkan kebimbangan penduduk tempatan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, langkah pertama adalah menyita 275 jentera digunakan pengusaha yang tidak mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan dengan kompaun dikenakan RM10.1 juta.

"Langkah kedua, kerajaan negeri menetapkan masa operasi dan laluan semua lori pengangkut bauksit keluar dari kawasan lombong.

"Seterusnya, menamatkan pengeluaran permit (AP) pemindahan tanah di kawasan dikenal pasti mempunyai bauksit," katanya dalam sidang media khas di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri akan mengarahkan pengusaha membiayai kos pembersihan jalan di kawasan Bukit Goh dan sekitar Pelabuhan Kuantan.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata semua aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Kuantan dihentikan selama tiga bulan mulai 15 Januari bagi membolehkan pelan tindakan penyelesaian pencemaran dilaksanakan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pada bulan pertama, kerajaan mengarahkan supaya semua stok simpanan bauksit di Pelabuhan Kuantan dikeluarkan dan dibersihkan.

"Pada bulan kedua pula, semua stok bauksit yang ada di 11 pusat pengumpulan mesti dikeluarkan dan akan dihantar ke satu pusat pemgumpulan saja yang akan diumumkan kemudian," katanya.

Wan Junaidi berkata, pada bulan ketiga pergerakan bauksit dari pusat pengumpulan untuk tujuan eksport akan bermula.

Dalam pada itu, katanya, kementeriannya juga sudah membekukan dan membatalkan semua permohonan permit AP bagi mengeksport dan menjalankan aktiviti perlombongan bauksit bermula sejak minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 4:36 PM