SEBAHAGIAN pelancong dari negara luar yang tiba di Jeti Pelabuhan Marina Melaka menerusi persinggahan kapal persiaran mewah yang berlabuh di situ, di sini hari ini. FOTO Bernama
SEBAHAGIAN pelancong dari negara luar yang tiba di Jeti Pelabuhan Marina Melaka menerusi persinggahan kapal persiaran mewah yang berlabuh di situ, di sini hari ini. FOTO Bernama
Rizanizam Abdul Hamid


KERAJAAN Persekutuan menyalurkan kira-kira RM7 juta bagi membiayai penyelenggaraan dan projek mendalamkan dasar laut di pesisir pantai jeti pelabuhan Marina Melaka yang sudah beroperasi semula sejak Oktober lalu.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata, projek yang sudah selesai itu membolehkan jeti berkenaan berperanan sebagai pusat persinggahan pelancong menerusi laluan laut khususnya kapal persiaran, sekali gus merancakkan lagi industri pelancongan Melaka.

Menurutnya, peruntukan menerusi Jabatan Laut Malaysia itu membabitkan kerja-kerja pengorekan laut sedalam empat meter di kawasan kira-kira 500 meter dari jeti itu yang dijalankan pada pertengahan 2019.

"Usaha naik taraf dan penyelenggaraan ini bagi membolehkan Marina Melaka dapat beroperasi semula selepas berdepan isu kedalaman perairan.

"Industri pelancongan kapal persiaran ini misalnya berpotensi besar untuk dibangunkan kerana lebih 100 kapal dari seluruh dunia melalui Selat Melaka. Malah, sejak beroperasi semula, hampir 60 kapal persiaran singgah di jeti Marina ini dengan anggaran 2,000 penumpang bagi setiap kapal," katanya selepas menyambut ketibaan pelancong kapal persiaran mewah di jeti Marina Melaka, Kota Laksamana di sini, semalam.

Turut hadir Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka (BPP), Zairi Suboh.

Mengulas selanjutnya, Adly berkata, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi projek naik taraf di kawasan jeti itu secara berperingkat selain menyusun strategi lain bagi memacu industri pelancongan Melaka.

Adly sebelum ini dilaporkan berkata bagi tempoh sembilan bulan pertama 2019, Melaka menerima kedatangan lebih 13.67 juta pelancong berbanding lebih 13.02 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 3:41 PM