Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman antara Pengerusi Eksekutif KAJD, Datuk Dr Daing A Malek (kiri) dengan Ketua Pegawai Operasi GPH, Stephen Xuereb mengenai pengurusan dan operasi Terminal Kapal Persiar Antarabangsa Melaka (MICT), di Seri Negeri Ayer Keroh, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman antara Pengerusi Eksekutif KAJD, Datuk Dr Daing A Malek (kiri) dengan Ketua Pegawai Operasi GPH, Stephen Xuereb mengenai pengurusan dan operasi Terminal Kapal Persiar Antarabangsa Melaka (MICT), di Seri Negeri Ayer Keroh, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat

Ayer Keroh: Melaka bakal membangunkan terminal kapal pesiar dengan nilai keseluruhan RM682 juta sekali gus akan menjadi

jeti pesiar terbesar di Asia Tenggara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata ini kerana menerusi projek usahasama antara Melaka International Cruise Terminal (MICT) Sdn Bhd dan Global Ports Holding (GPH) itu, terminal dikenali sebagai Terminal Kapal Persiar Antarabangsa Melaka dijangka mampu menampung dua kapal mewah secara serentak.

Katanya, ia termasuk kapal persiaranKelas Oasis di Dermaga Luar dan masing-masing satu unit Kelas Kuantum sertakapal persiaran Voyage of the Sea di Dermaga Dalaman dalam satu masa.

Beliau berkata, kejayaan satu daripada projek di kawasan pembangunan Melaka Gateway itu bakal menyediakan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

"Selain dapat meningkatkan ekonomi menerusi pelaburan besar projek itu,Melaka juga bakal menerima pertambahan pelancong dari serata dunia yang masuk menerusi persinggahan kapal mewah itu di terminal terbabit.

"Seramai 15.8 juta pelancong dengan 5.8 juta adalah pelancong domestik dan 10 juta pelancong asing dijangka memilih terminal berkenaan untuk ke negeri ini menjelang 2036 dan dianggarkan akan berbelanja sekitar RM9 bilion ketika berada di Melaka," katanya selepas menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman (MoU) antara KAJ Development Sdn Bhd (KAJD) dengan GPH, di Seri Negeri, di sini hari ini.

KAJD diwakili Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Daing A Malek Daing A Rahaman manakala GPH pula diwakili Ketua Pegawai Operasi, Stephen Xuereb.

Yang turut hadir, Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Abd Aziz Engan; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Saleh serta Ketua Pegawai Eksekutif KAJD, Datuk Michelle Ong.

Projek Terminal Kapal Pesiar Antarabangsa Melaka dijangka bermula pertengahan tahun ini dan siap sepenuhnya menjelang 2026.

Ab Rauf berkata, beliau yakin kerjasama ini membolehkan GPH untuk mengurus, memasarkan, mempromosi dan mengendalikan Projek MICT ini dengan lebih efisien dan bersistematik.

GPH adalah sebuah syarikat pengendali pelabuhan pesiar terbesar di dunia. Antara pelabuhan yang dikendalikan syarikat itu ialah di Caribbean, Mediterranean, rantau Asia Pasifik, termasuk pelabuhan komersial di Montenegro.

"Lantaran itu, sebagai satu projek terpenting yang dibangunkan di Pulau PME1 Projek Melaka Gateway, saya yakin, MICT akan memacu ekonomi Melaka serta Malaysia secara keseluruhannya.

"Projek terminal ini juga akan mengubah industri pelancongan Melaka daripada ekonomi hujung minggu kepada ekonomi 365 hari.

"Sebaik projek terminal yang bernilai RM682 juta ini siap sepenuhnya, ia akan menjadi sebuah jeti pesiar terbesar di Asia Tenggara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 6:07 PM