HOCK Guan (tiga dari kanan) melawat lokasi operasi Desan.
HOCK Guan (tiga dari kanan) melawat lokasi operasi Desan.

LEAPTEC Engineering Sdn Bhd (Leaptec), syarikat subsidiari LBS Bina Group Berhad (LBS), telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Desan Deniz Ins San AS (Desan), syarikat perniagaan perkapalan terkemuka yang berpangkalan di Istanbul, Turkiye.

Menerusi perjanjian itu, kedua-dua pihak menyasarkan untuk bekerjasama bagi meneroka potensi pelaksanaan pembinaan dan pembangunan perniagaan limbungan pembaikan kapal serta pembinaan kapal dalam tiga fasa dengan anggaran nilai projek melebihi RM2 bilion di Tanjung Bruas, Melaka.

Leaptec dan Desan juga akan meneroka pelbagai peluang kerjasama yang antara lain membabitkan sokongan pihak berkaitan, subsidi serta kewangan jangka panjang yang kukuh.

Perjanjian berkenaan akan berkuatkuasa pada 13 April 2023 selama 12 bulan, melainkan perjanjian itu diperbaharui dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Majlis menandatangani MOU berkenaan diadakan di ibu pejabat Desan, Istanbul, Turkiye.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS dan Leaptec, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan menandatangani perjanjian bagi pihak Leaptec, manakala Desan diwakili oleh Pengerusi, Cenk Ismail Kaptanoglu.

Majlis bersejarah itu turut disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir, Ketua Pegawai Eksekutif Leaptec, Datuk Mohd Anis Hisham Abd Aziz, dan Mantan Presiden BIMCO serta Ahli Lembaga Limbungan Kapal Desan, Dr Şadan Kaptanoğlu serta Naib Pengerusi Limbungan Kapal Desan, Hasan Özgür Çilli.

Ditubuhkan pada 1970, Desan merupakan penyedia solusi limbungan kapal Turkiye terkemuka yang terbabit dalam perniagaan pembinaan dan pembangunan limbungan, pembinaan, penyelenggaraan, serta pembaikan kapal, serta aktiviti berkaitan perkapalan.

Di bawah pimpinan generasi ketiga keluarga perkapalan Kaptanoglu, Desan telah mengembangkan empayar perniagaan pembaikan kapal, dan pembinaan kapal yang meliputi perniagaan luar pesisir, kapal tentera laut, semua jenis kapal tangki, pengangkut pukal, bot tunda dan kapal layar.

Pada 2021, Leaptec telah menandatangani perjanjian reklamasi dan pembangunan dengan kerajaan negeri Melaka untuk membangunkan tanah seluas 1,200 ekar yang merupakan sebahagian daripada koridor ekonomi pesisir laut berimpak tinggi (M-WEZ) meliputi 25,000 ekar di sepanjang pantai negeri Melaka.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif LBS dan Leaptec, Tan Sri Lim Hock San berkata, ia adalah kolaborasi sulung bersama Desan, sebuah syarikat terkemuka Turkiye dalam bidang perkapalan.

"Kami turut mempertimbangkan pelbagai rakan kongsi untuk bekerjasama dalam membangunkan projek penambakan Melaka dan berbesar hati untuk bekerjasama dengan Desan.

"Ia amat sinonim dengan sektor pembinaan perniagaan limbungan, pembinaan dan pembaikan kapal, penyelenggaraan, pemodenan, penukaran dan pengubahsuaian semua jenis kapal komersial serta kapal tentera laut.

"Justeru, kami optimis bahawa perjanjian perniagaan ini akan menjadi perintis ke arah memakmurkan lagi pertumbuhan industri yang sesuai untuk projek kami di Melaka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 7:00 AM