Abdul Razak ketika merasmikan TIC Mobile di Ayer Keroh.FOTO NAZRI ABU BAKAR
Abdul Razak ketika merasmikan TIC Mobile di Ayer Keroh.FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kerajaan negeri memperkenalkan TIC Bergerak Tourism Melaka (TIC Mobile) yang pertama di negara ini dalam usaha menarik pelancong ke Melaka.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, usaha melalui Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri (Tourism Melaka) itu antara pendekatan menjayakan Kempen Tahun Melawat Melaka 2024 sekali gus meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri ini.

Katanya, TIC Mobile yang pertama di Malaysia itu siap dibina pada 30 Mac lalu menerusi bajet Kementerian Kewangan melalui penyaluran khas di bawah inisiatif projek pelancongan itu bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat penting pelancongan Melaka.

Menurutnya, ia merangkumi acara, produk pelancongan terkini dan juga pakej yang disediakan oleh semua pemain industri.

"TIC Mobile juga inisiatif Tourism Melaka untuk memperhebatkan promosi pelancongan untuk pasaran domestik dan secara tidak langsung dapat memperhebatkan lagi promosi Tahun Melawat Melaka 2024.

"Ia akan digerakkan bermula Mei ini termasuk di Nilai, Subang, Ipoh, Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gelang Patah, Seberang Jaya, Petaling Jaya, R&R Tapah, R&R Perasing dan Genting Sempah," katanya ketika merasmikan TIC Mobile di Pusat Penerangan Pelancong, Pintu Gerbang Ayer Keroh, di sini, malam tadi.

Menurutnya, Tourism Melaka juga membuat perancangan bagi menggerakkan TIC Mobile ke seluruh negara dengan kerjasama Tourism Malaysia.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 12:53 PM