GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Anwar Patho Rohman


DUA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam bidang pendidikan bukan saja menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad memangku jawatan Menteri Pendidikan malah mencadangkan beliau untuk mewujudkan sekolah satu aliran.

NGO itu, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-GURU) dan Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) mencadangkan kepada Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri untuk mewujudkan sekolah berkenaan selari dengan semangat terkandung dalam dokumen pendidikan negara, Penyata Razak 1956.

Presiden i-GURU Mohd Azizee Hasan, berharap Dr Mahathir mampu melaksanakan reformasi dan memperkasa agenda pendidikan negara secara drastik bagi mendepani era digital dan cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0)

“i-GURU berharap Dr Mahathir mempertahankan dasar pendidikan negara seperti termaktub dalam Perlembagaan terutama berkaitan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), pengekalan tulisan Jawi, memartabatkan Bahasa Melayu dan mengarus perdanakan pendidikan Islam dalam sistem pendidikan.

“i-GURU berharap usaha reformasi ini mesti mendahulukan kepentingan pendidikan mengatasi kepentingan politik, termasuk mempertimbangkan cadangan mewujudkan sekolah satu aliran bagi membina satu bangsa bersatu padu selaras dengan semangat Penyata Razak 1956,” katanya pada kenyataan hari ini.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lalu bersetuju Dr Mahathir memangku sementara jawatan Menteri Pendidikan, berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Maszlee meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan berkuat kuasa 3 Januari lalu selepas mendapat nasihat Dr Mahathir pada pertemuan sehari sebelum itu.

Sementara itu, Presiden PAUiTM Datuk Mohd Zaini Hassan berkata, di bawah Dr Mahathir, Kementerian Pendidikan harus dikendalikan dengan berkesan, strategik dan berhemah bagi memastikan dasar pendidikan kebangsaan dipatuhi dan diperkasakan.

Katanya, PAUiTM tidak mahu melihat dasar pendidikan negara diperkotak-katikkan mengikut ‘dasar peribadi’ setiap menteri yang menerajuinya.

“PAUiTM juga menyokong cadangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) supaya agensi pendidikan negara diletak di bawah satu Suruhanjaya Parlimen bagi memastikan setiap dasarnya tidak diubah dan diganggu-gugat mengikut acuan peribadi semasa.

“Menjadi harapan kami supaya sistem persekolahan negara disatukan menjadi satu sistem kebangsaan tunggal bagi anak Malaysia.

“Jika sistem tunggal itu tidak dapat dilaksanakan, kami mencadangkan diperkenalkan semula gagasan Sekolah Wawasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 7:36 PM