MOHD Azizee Hasan. FOTO Mohd Amin Jalil.
MOHD Azizee Hasan. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

am@hmetro.com,.my

Seremban: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) yakin pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dapat melegakan ibu bapa.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu UPSR dimansuhkan dalam usaha mentransformasi sistem pendidikan berteraskan penilaian peperiksaan, selain melahirkan murid lebih baik serta membolehkan guru memberi fokus kepada kemenjadian murid yang menyeluruh.

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya menyambut baik keputusan terbabit dan ia perlu disambut dengan positif oleh semua pihak bagi melihat kerangka pendidikan negara maju ke hadapan.

"Kami yakin pemansuhan UPSR melegakan banyak pihak terutama ibu bapa. Ia akan membolehkan kerangka fikir guru terhadap murid lebih universal dalam melihat setiap murid ada potensi dan bakat yang boleh dikembangkan sesuai dengan keperluan pendidikan Abad 21 dan negara menuju Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

"Dalam hal ini juga, kami menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) supaya dapat memantapkan sistem pendidikan sedia ada dengan penambahbaikan dari sudut pedagogi.

"Ini dilihat penting untuk mengelak berlakunya keciciran murid dari arena pendidikan apabila berlaku kenaikan dari sekolah rendah ke sekolah menengah," katanya di sini,

hari ini.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, mengumumkan kerajaan memutuskan UPSR dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan untuk tahun ini.

Dr Radzi berkata, keputusan memansuhkan UPSR dibuat hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak peperiksaan itu dibatalkan tahun lalu akibat Covid-19.

Mohd Azizee berkata, pihaknya meminta KPM dapat menjelaskan konsep pentaksiran baharu supaya difahami semua pihak terutama guru, ibu bapa dan pelajar.

Beliau berkata, ia penting agar pelaksanaannya kelak berjalan secara terancang dan tidak dilihat terburu-buru, tanpa persediaan yang cukup di peringkat pelaksanaannya.

"Kami juga mencadangkan agar sistem Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) ditambah baik dari semasa ke semasa untuk melihat kemenjadian murid untuk memastikan mereka yang benar-benar berkelayakan dan memenuhi objektif kewujudan sekolah berkenaan.

"Guru pula perlu memantapkan dan meningkatkan lagi kompetensi diri dalam penguasaan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) supaya keberkesanan PdP mampu mencapai objektif dalam pengukuran dan penilaian murid," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 10:58 AM