MOHD AZIZEE HASAN
MOHD AZIZEE HASAN
Mohd Amin Jalil


Seremban: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menyangkal dakwaan segelintir pihak yang menyifatkan Sekolah Kebangsaan (SK) terlalu bersifat Islamik sehingga mengabaikan pengetahuan dalam mata pelajaran Sains dan Teknologi.

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan berkata, kenyataan yang dikeluarkan pihak berkenaan bersifat prejudis dan tidak menggambarkan kefahaman yang mendalam terhadap Falsafah Pendidikan Negara serta bersifat dangkal.

"Kenyataan itu tidak tepat dan bukan berdasarkan fakta yang betul.

"Ini kerana masih ada ibu bapa bukan Islam yang menghantar anak di SK bahkan sekolah berasrama penuh (SBP) masih menempatkan murid bukan Melayu.

"Mereka harus faham kewujudan SK adalah menjunjung matlamat Penyata Razak 1956 dan memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang seimbang dari segala aspek," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai satu sesi debat bertajuk Suara Gerak Independent: The Vernacular School Debate anjuran Maju Foundation, baru-baru ini, yang menyatakan SK terlalu bersifat Islamik.

Mengulas lanjut, Mohd Azizee berkata, sesi pengajaran dan pembelajaran (PnP) yang dilaksanakan di SK jelas tidak mengabaikan subjek Sains dan Matematik serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Beliau berkata, aktiviti keagamaan yang dilaksanakan seperti bacaan doa dan majlis sambutan kebesaran Islam bertujuan membina kerohanian murid sebagai asas pembinaan jati diri.

"Negara sudah mencapai kemerdekaan selama 63 tahun, dan segelintir pihak tidak sepatutnya memandang rendah terhadap SK, sebaliknya berusaha memperkasa dan memartabatkan lagi sekolah berkenaan.

"Malah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sendiri mempersiapkan segala perancangan pendidikan untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0 termasuk dalam bidang sains dan teknologi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 2:11 PM