HARRY Kane. FOTO AFP
HARRY Kane. FOTO AFP
Reuters

Munich: Harry Kane berkata dia masih setia bersama Bayern Munich ketika pemburuan untuk memburu trofi utama pertama dalam kariernya diteruskan.

Dia menjaringkan gol kelapan Liga Juara-Juara musim ini ketika seri 2-2 dengan Real Madrid pada aksi separuh akhir pertama.

Vinicius Jr menjaringkan gol pada minit ke-24 untuk membolehkan Real mendahului pada separuh masa pertama tetapi tuan rumah menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit pada awal separuh masa kedua menerusi jaringan Leroy Sane dan penalti Kane, sebelum sepakan penalti Vinicius memastikan Bayern menyamakan kedudukan 2-2.

Penyerang England itu, yang menyertai Bayern dari Tottenham Hotspur dengan harga sekitar 87 juta pound (RM517.8 juta) pada Ogos tahun lalu, menjaringkan gol ke-43 dalam 43 perlawanan untuk pasukan Jerman itu musim ini.

Bayer Leverkusen menamatkan dominasi Bayern untuk muncul juara Bundesliga 11 kali berturut-turut dan mereka juga sudah tersingkir daripada Piala Jerman.

Namun Bayern masih mempunyai peluang untuk merebut trofi Liga Juara-Juara.

"Ia akan menjadi sukar. Kami perlu pergi (ke Bernabeu untuk perlawanan kedua) dengan penuh keyakinan.

"Ia adalah perlawanan besar. Suasananya luar biasa. Inilah sebabnya saya datang ke sini. Saya mahu bermain dalam perlawanan utama.

"Saya di sini untuk tempoh yang lama. Ia bukan setahun sahaja saya berada di sini. Sudah tentu pada permulaan musim terdapat jangkaan untuk memenangi trofi.

"Liga Juara-Juara adalah pertandingan terbesar. Jika kami boleh memenanginya, ia akan menjadi musim yang menakjubkan," kata Kane.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 9:49 PM