PEGAWAI kastam mengiringi S Savuntharam setelah di dapati bersalah memiliki barang larangandi Mahkamah Majistret Kulim. FOTO Azahar Hashim
PEGAWAI kastam mengiringi S Savuntharam setelah di dapati bersalah memiliki barang larangandi Mahkamah Majistret Kulim. FOTO Azahar Hashim
Muhaamad Hafis Nawawi


PEMILIK kedai runcit dipenjara tujuh hari dan didenda RM26,000 oleh Mahkamah Majistret Kulim, hari ini atas kesalahan memiliki barang larangan import iaitu 164 karton rokok pelbagai jenama dan 10 tin bir, minggu lalu.

Majistret R Manomani memerintahkan hukuman terbabit dijalankan ke atas S Savuntharam, 52, bermula dari tarikh ditangkap pada 11 Julai lalu selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Mengikut kertas pertuduhan, Savuntharam memiliki 164 karton rokok pelbagai jenama dan 10 tin bir membabitkan nilai keseluruhan RM2,561.35 di Shanthi Catering Senangin Corner, No G-696, Lorong Senangin 3/5, Taman Senangin, Kulim pada 4 petang, 11 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang belum diluluskan Kastam di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda dari nilai duti atau cukai yang terlibat dan tidak melebihi 20 kali ganda dari nilai duti atau cukai terlibat atau tiga tahun penjaraatau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Penguasa Kastam Cawangan Bukit Kayu Hitam, Karthy Gasedeval Deva Rajoo manakala tertuduh diwakili Chandra Segaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 1:58 PM