Foto hiasan.
Foto hiasan.
Abnor Hamizam Abd Manap


PEMANDU kereta api dijatuhi hukuman penjara dan denda di Mahkamah Majistret Jelebu, hari ini atas kesalahan menghalang tugas penjawat awam pada 17 April lalu.

Majistret Rahimah Rahim menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM3,000 ke atas A Loghan, 35, selepas mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 10.30 malam 17 April lalu bertempat di bahu jalan di luar rumah di Taman Sri Pertang, Jelebu didapati menghalang penjawat awam menjalankan tugas dengan melakukan provokasi dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap sepasukan polis yang meminta tertuduh beredar berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM800 selepas didapati bersalah mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 ( PPPB) yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) peraturan sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Rahimah turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda bagi pertuduhan menghalang penjawat awam dan satu bulan bagi ingkar arahan PKP.

Di mahkamah sama, seorang pemandu lori turut dijatuhi hukuman penjara dua hari dan denda RM600 kerana melanggar PKP.

Mengikut kertas pertuduhan, Siren Chen, 53 dari Kampung Orang Asli Bukit Tadum, Banting didapati bergerak dari satu tempat lain iaitu Banting, Selangor ke Jelebu, Negeri Sembilan dan gagal memberi alasan munasabah pergerakan ketika ditahan dalam sekatan jalan raya di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu pada 3.30 petang 21 April lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala kedua - dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Mohamad Nor Hisam Hussain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 3:15 PM