JONISTON membantu kempen BN di Kampung Kiulu Baru, Membakut. FOTO Edmund Samunting
JONISTON membantu kempen BN di Kampung Kiulu Baru, Membakut. FOTO Edmund Samunting
Mohd Izham Unnip Abdullah


PARTI Bersatu Sabah (PBS) tampil membantu kempen UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang majoritinya didiami masyarakat Kadazandusun, semalam.

Di Kampung Kiulu Baru dalam kawasan PDM Lumat di Membakut, Ketua Penerangan PBS yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai turut menyampaikan ceramah bersama Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Kehadiran Joniston itu dilihat sebagai strategi untuk menarik perhatian pengundi dalam kalangan masyarakat Kadazandusun untuk mengundi BN menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

Kiulu Baru adalah perkampungan masyarakat Kadazandusun di PDM Lumat, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut yang kebanyakannya berasal dari Kiulu, Tuaran.

Joniston berkata, beliau membantu kempen BN di kawasan itu selepas kepemimpinan PBS mendapat komitmen bahawa UMNO akan bersama-sama memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tuntutan royalti minyak 20 peratus.

“Bukan mudah sebenarnya bagi PBS bersama-sama dalam kempen PRK ini, tetapi kita sedar pentingnya kita sebagai blok pembangkang untuk memastikan Parti Warisan Sabah (WARISAN) kalah.

“Bukan mudah juga untuk PBS, kita minta terlebih dahulu komitmen daripada UMNO untuk bersama memperjuangkan MA63 dan royalti minyak 20 peratus dan mereka setuju, maka barulah kita dapat bekerjasama.

“Jadi, jangan lagi ada soalan kenapa PBS ada di sini, kita buat keputusan (membantu kempen BN) selepas mendapat komitmen itu,” katanya.

Pada 3 Januari lalu, Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, ketika sidang medianya mengumumkan tidak meletak calon pada PRK Kimanis tetapi menyokong calon pembangkang yang sama pendirian dengan parti itu untuk menuntut hak Sabah dalam MA63 dan membantah Pas Sementara Sabah (PSS).

Dalam ceramahnya, Joniston berkata, calon BN, Datuk Mohamad Alamin menjadi mangsa keadaan apabila gagal mempertahankan kerusi DUN Bongawan yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Katanya, ia berlaku disebabkan rakyat ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 terpengaruh dengan dakyah ‘ubah’ pembangkang pada masa itu.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, beliau yakin PBS akan terus bersama BN kerana kedua-dua parti mempunyai matlamat yang sama.

“Kita satu matlamat iaitu kita menentang perkara yang dibawa WARISAN yang merosakkan negeri kita,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 6:06 PM