JONISTON (kiri). FOTO Arkib NSTP. Jo anna (gambar kanan). FOTO Facebook Jo Anna Henley Rampas.
JONISTON (kiri). FOTO Arkib NSTP. Jo anna (gambar kanan). FOTO Facebook Jo Anna Henley Rampas.
Suzianah Jiffar


KERUSI Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) antara menjadi tumpuan di Sabah apabila dijangka menemukan bekas wartawan dengan bekas ratu cantik.

Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai dari Parti Bersatu Sabah (PBS) yang juga bekas wartawan akhbar New Straits Times (NST) dijangka ditentang Jo Anna Henley Rampas, peserta Unduk Ngadau Pesta Kaamatan 2007.

Ketika ini, cerita mengenai Jo Anna, Naib Juara Bintang RTM pada tahun 2009, tular di media sosial berikutan selepas disebut-sebut bakal calon DUN Kiulu mewakili Parti Warisan Sabah (WARISAN) berikutan memiliki wajah jelita.

Ketika dihubungi, Joniston, 55, berkata beliau sedia berdepan sesiapa sahaja jika di DUN Kiulu jika dicalonkan semula oleh kepemimpinan Barisan Nasional (BN).

"Sebagai anak jati Kiulu yang lahir dan dibesarkan di sini, saya memahami kesusahan dan kehendak rakyat kawasan ini kerana saya berasal dari keluarga daif, pernah menoreh getah, menanam padi malah berjalan kaki jauh ke sekolah," katanya.

Joniston berkata, selama sepenggal mewakili DUN Kiulu, beliau percaya penduduk mahu melihat pembangunan dan kemajuan berterusan di kawasan berkenaan pada masa depan.

"Kiulu kini berada di landasan betul untuk mencapai lebih banyak pembangunan dan kemajuan. Pelbagai kemudahan sudah ada termasuk jalan selain menjadi perintis kepada pelancongan luar bandar dan kini menjadi daerah kecil baharu di Tuaran.

"Semua ini dibawa oleh BN dan saya yakin rakyat Kiulu mahu melihat pembangunan yang semakin rancak ini berterusan," katanya sambil menambah kerjasama padu semua parti komponen membolehkan BN terus menjadi pilihan rakyat.

Jo Anna, 29, yang turut aktif menyanyi sebelum ini, berkata dia sedia menggalas tanggungjawab jika dipilih menjadi calon.

Isteri kepada seorang doktor dari Kajang, Selangor itu yang juga Timbalan Ketua Wirawati WARISAN bagaimanapun berkata, ia terpulang kepada pucuk pimpinan parti pembangkang itu untuk membuat keputusan.

"Saya belum tahu jika dicalonkan kerana ini keputusan pucuk pimpinan. Di Kiulu, kebanyakan penduduk adalah petani, justeru isu berkaitan tanah amat dekat di hati mereka, ini yang akan saya perjuangkan," kata wanita berdarah campuran Dusun dan Inggeris.

Pada PRU-13, Joniston menang kerusi DUN Kiulu dengan menewaskan calon PKR, Rhodes Panilau dengan kelebihan 44 undi dalam saingan empat penjuru yang turut disertai calon Parti Maju Sabah (SAPP) dan Bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 4:59 PM