JONISTON Bangkuai. FOTO NSTP
JONISTON Bangkuai. FOTO NSTP
Recqueal Raimi


Tuaran: "Walaupun terluka, saya tidak membencinya... dia masih kawan saya, tetapi dia meninggalkan kami pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu."

Demikian kata penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai yang mendakwa Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mengetepikan Barisan Nasional (BN) pada 2018.

Joniston yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) mengulas lanjut, Madius sangat bersepakatan menerusi slogan 'Bersatu Misompuru (perpaduan)' dengannya pada PRU ke-14.

"Sebenarnya, itu adalah cadangannya agar tiga parti utama Kadazan Dusun dan Murut (KDM) iaitu parti UPKO, PBS dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) membentuk pakatan rasmi bersatu sebagai barisan hadapan untuk menghadapi pilihan raya ketika itu.

"Akhirnya, Majlis Presiden yang terdiri daripada tiga presiden parti ditubuhkan dan kami menang.

"Namun menyedihkan selepas pilihan raya selesai, tiba-tiba dia meninggalkan kami untuk menjadi pakatan pemerintah pimpinan Warisan," katanya pada Sesi Pertemuan Calon di Kampung Tudan-Poring, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Joniston mengatakan dia tidak ragu-ragu untuk bekerjasama dengan Madius yang juga sebagai Ahli Parlimen Tuaran dalam meneruskan pembangunan di DUN Kiulu.

Joniston menambah, meskipun penduduk (DUN Kiulu) memiliki dua wakil rakyat yang berlatar belakangkan dua sisi berbeza, itu akan memberi kebaikan bagi Kiulu.

"Sekiranya kerajaan negeri Sabah sebelum ini bersedia bekerjasama dengan kerajaan persekutuan walaupun di pihak berbeza, mengapa kita tidak dapat melakukan hal yang sama untuk Kiulu?" katanya

Dalam perkembangan lain, Joniston menegaskan bahawa PBS bukan dalam BN lagi. Itulah sebabnya mereka menggunakan logo kita sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

"Justeru, kami meminta pengundi untuk tetap teguh pada makna integriti, prinsip dan maruah. Sekiranya mereka melakukannya, saya tahu mereka (pemilih) membuat pilihan yang tepat," katanya.

Turut hadir, bekas Setiausaha Warisan Tuaran, Rhodes Panilau.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 12:59 PM