Norasikin Daineh


JABATAN Kesihatan Negeri Sabah diminta turun padang memantau penularan Influenza A (H1N1) yang disahkan menjangkiti seorang petugas jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan kebimbangan sekiranya penyakit itu menular kepada jentera dan petugas serta orang awam sepanjang kempen berlangsung.

“Disahkan petugas jentera kita yang juga ahli Puteri UMNO ditahan di hospital disyaki dijangkiti penyakit ini di Membakut.

“Saya harap, Jabatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Sabah turun dan jangan hanya tumpu pada perokok di kedai kopi (premis makanan) saja, jaga (pantau) juga penyakit ini supaya wartawan dan orang yang kempen ini tidak dijangkiti, kalau kena bagaimana keadaannya nanti, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam sidang media di Kampung Mandangin, Membakut.

Katanya, perkara itu sangat serius kerana ia membabitkan kesihatan dan keselamatan semua pihak yang terbabit dalam PRK termasuk penduduk kampung.

“Kalau kena (dijangkiti), ini satu perkara serius kerana ia membabitkan keselamatan dan kesihatan orang awam,” katanya.

Terdahulu, Penolong Setiausaha Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Nurul Hazwani Haslan @ Awin disahkan menghidapi H1N1 selepas dua hari bertugas di Kimanis.

Nurul Hazwani kini berada di Hospital Gleanegles Kota Kinabalu sejak semalam untuk mendapatkan rawatan.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 3:18 PM