ROKOK seludup yang dirampas. FOTO ihsan Polis
ROKOK seludup yang dirampas. FOTO ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS melumpuhkan sindiket pengedaran rokok seludup dengan menahan enam orang bersama rokok, wang tunai, kereta mewah dan lori dengan jumlah rampasan bernilai RM3,171,400.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Cawangan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas (PGK) JKDNKA yang menerima maklumat menjalankan dua operasi di Bukit Raja, Klang dan Shah Alam, Selangor, hari ini ke atas sindiket terbabit.

Menurutnya, dalam operasi itu, enam individu berusia 24 hingga 46 tahun ditahan termasuk lima lelaki dan seorang wanita warga Vietnam yang mempunyai dua rekod kesalahan lampau.

“Sebanyak 14,450 karton rokok putih dirampas bersama wang tunai pelbagai nilai berjumlah RM83,400.

“Turut dirampas 29 keping cek bernilai RM142,767 dan BMW 525i, Toyota Estima, Toyota Camry, Toyota Vios serta sebuah lori lima tan dengan nilai rampasan lebih RM3 juta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Acryl Sani berkata, suspek direman tujuh hari sehingga 11 Januari dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 7 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 10:22 PM