SELIPAR milik lelaki yang maut selepas dirempuh kereta api. FOTO Ihsan PDRM
SELIPAR milik lelaki yang maut selepas dirempuh kereta api. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


LELAKI maut dirempuh kereta api selepas dipercayai menceroboh landasan KTM Komuter milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kilometer 354.835, Rawang, semalam.

Pengurusan stesen KTMB Rawang menerima panggilan pada 9.40 malam mengenai lelaki yang belum dikenal pasti identiti itu dirempuh kereta api ketika menceroboh landasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pengurus stesen berkenaan ke lokasi kejadian dan menemui mangsa dalam keadaan terbaring serta luka pada kaki kiri, kepala dan pergelangan tangan.

Menurutnya, ambulans tiba pada 10.17 malam sebelum membawa mangsa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

“Namun, doktor mengesahkan lelaki terbabit meninggal dunia pada 11.28 malam selepas 30 minit memberikan bantuan kecemasan resusitasi kardiopulmonari (CPR).

“Semakan mendapati dia tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, namun dipercayai warga tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, mayat dihantar ke Forensik Hospital Selayang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 8:46 PM