Suharmin Yusuf

Kuala Lumpur: Seramai 20,000 penumpang komuter dan 10,000 perkhidmatan tren elektrik (ETS) dijangka terjejas susulan kejadian sebuah kren binaan yang digunakan untuk projek parkir bertingkat, tumbang di atas landasan kereta api, semalam.

Insiden yang berlaku di Kilometer (KM) 355.749 antara Rawang dan Kuang, Selangor, itu menyebabkan talian atas 'overhead line' dua-dua jajaran kereta api terputus pada jam 5.53 petang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, kren binaan terbabit mendap di kawasan pembinaan mengakibatkan condong ke arah landasan dan bahagian atas kren patah menimpa landasan.

"Struktur yang jatuh bukan sahaja menimpa landasan malahan memutuskan talian babitkan empat bahagian kren yang jatuh atas landasan namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan" katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Katanya, insiden terbabit menjejaskan perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter Lembah Klang untuk laluan KL Sentral ke Tanjung Malim dan kereta api kargo.

Mohd Rani berkata, seramai 10,000 penumpang terjejas membabitkan 7,000 penumpang komuter dan 3,000 penumpang ETS sejak kejadian berlaku hingga tengah malam tadi.

KREN binaan projek parkir bertingkat oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC) tumbang di Kilometer (KM) 355.749 antara Rawang dan Kuang, Selangor, semalam. FOTO Ihsan KTMB
KREN binaan projek parkir bertingkat oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC) tumbang di Kilometer (KM) 355.749 antara Rawang dan Kuang, Selangor, semalam. FOTO Ihsan KTMB

"Kita menjangkakan 20,000 penumpang komuter dan 10,000 penumpang ETS akan terjejas membabitkan 46 perkhidmatan komuter dan 32 perkhidmatan ETS.

"Angka itu dijangka terus berlarutan sehingga operasi komuter dan ETS kembali pulih.

"Kerja-kerja pembaikan dijangka siap dalam tempoh 24 jam membabitkan pemasangan kabel, penggantian komponen yang rosak dan pengujian bekalan elektrik," katanya.

Beliau berkata, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan dan pihak KTMB juga menggerakkan Bilik Gerakan Bencana sejak petang semalam.

Menurutnya, KTMB turut mengambil langkah awal dengan membuat isolasi terhadap laluan terjejas kerana banyak litar pintas akibat insiden terbabit.

Mengulas lanjut, Mohd Rani berkata, bekalan elektrik yang terjejas membabitkan laluan dari Rawang hingga Kepong Sentral.

"Pihak KTMB sudah mengehadkan jarak isolasi dari Kuang ke Rawang sahaja bagi memastikan kawasan berkenaan selamat untuk kerja baik pulih dan pembaikan.

"Bas perantara akan diguna untuk sementara untuk stesen komuter dan ETS yang terjejas," katanya.

Susulan insiden ini, katanya, anggota polis bantuan serta anggota operasi dan teknikal sedang berusaha untuk memastikan kerja-kerja baik pulih berjalan lancar.

"Pihak KTMB juga menawarkan pemulangan wang melalui KTMB Wallet bagi penumpang yang tidak ingin meneruskan perjalanan menerusi talian perkhidmatan KTMB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 12:57 PM