PEMAIN tengah Denmark, Christian Eriksen (kanan) bersaing dengan pemain Finland, Glen Kamara sebelum dia rebah di padang akibat jantung terhenti pada perlawanan Kumpulan B Euro 2020, Sabtu lalu. FOTO AFP
PEMAIN tengah Denmark, Christian Eriksen (kanan) bersaing dengan pemain Finland, Glen Kamara sebelum dia rebah di padang akibat jantung terhenti pada perlawanan Kumpulan B Euro 2020, Sabtu lalu. FOTO AFP
Agensi

Copenhagen: Bintang Denmark, Christian Eriksen akhirnya membuka mulut buat kali pertama selepas rebah di padang akibat mengalami jantung terhenti ketika perlawanan Euro 2020 dengan Finland, Sabtu lalu.

Pemain tengah berusia 29 tahun itu mengakui dalam keadaan semakin baik, tetapi masih cuba memahami apa yang sebenarnya berlaku ke atas dirinya.

Eriksen rebah pada minit ke-43 perlawanan antara Denmark dan Finland di Copenhagen dan doktor pasukan mengatakan dia 'sudah pergi' sebelum mereka melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR).

Dia memerlukan rawatan perubatan rapi selama 13 minit - termasuk CPR and penggunaan alat defibrilator - sebelum sedar dan diusung ke keluar dari padang sebelum dikejarkan ke hospital.

Bintang Inter Milan yang sebelum ini beraksi untuk Tottenham Hotspurs itu semalam disahkan mengalami jantung terhenti, tetapi kini dalam keadaan stabil.

Hari ini, dia menyampaikan pesanan kepada umum seperti dilaporkan akhbar Itali, Gazzetta dello Sport.

Eriksen berkata: "Terima kasih semua, saya tidak akan mengalah. Saya merasa lebih baik sekarang, tetapi sedang cuba memahami apa yang berlaku.

"Saya mahu berterima kasih atas apa yang anda semua lakukan untuk saya."

Rakan yang juga ejen Eriksen, Martin Schoots berkata: "Kami bercakap pagi ini (Ahad).

"Dia bergurau dan dalam mood yang baik, saya lihat dia sihat. Kami semua mahu memahami apa yang berlaku terhadapnya, doktor terus melakukan pemeriksaan lanjut dan memerlukan masa."

"Dia gembira kerana memahami sejauh mana orang ramai sayang kepadanya di padang ketika kejadian dan mesej diterimanya dari seluruh dunia.

"Malah, dia terharu dengan reaksi daripada Inter Milan, bukan saja rakan sepasukan, malah penyokong mereka.

"Christian tidak akan mengalah. Dia dan keluarganya mengucapkan terima kasih kepada semua orang.

"Hampir separuh dunia menghubungi kami dan menyatakan kerisauan mereka.

"Kini dia perlu berehat, bersama isteri dan keluarga. Dia masih dalam pemerhatian pada Isnin dan mungkin Selasa.

"Tetapi, dia mahu meraikan rakan sepasukannya dalam perlawanan menentang Belgium nanti."

Pengurus Denmark, Kasper Hjulmand menyalahkan UEFA, semalam kerana meletakkan pemainnya dalam situasi sukar untuk membuat keputusan.

Katanya, mereka diberi pilihan sama ada meneruskan perlawanan yang terhenti selepas insiden itu atau turun pada semula pada petang semalam.

Mereka kemudiannya memilih untuk menyambung perlawanan yang terhenti pada hujung babak pertama itu sebelum akhirnya tewas 0-1 kepada Finland.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 7:29 PM