Shamsul Munir Safini


GARA-GARA khayal dadah, wanita mengugut bunuh ibunya dan membakar rumah mereka di Permatang Buloh, 11.20 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek, 31, dikatakan memegang pisau dan mengugut mahu membunuh ibunya, 73, dan mahu membakar rumah.

Wanita yang tinggal di rumah mangsa bersama tiga anaknya itu mengamuk kerana tekanan perasan selain berada dalam pengaruh dadah.

Noorzainy berkata, seorang lagi anak mangsa yang menyedari kejadian dan bimbang dengan keselamatan mangsa menghubungi polis

Katanya, suspek juga sebelum ini juga didakwa sering meracau selain ketawa dan bercakap sendirian.

"Suspek juga didapati berada dalam pengaruh dadah ketika kejadian sebelum polis yang menerima maklumat menahan suspek sehingga berlaku sedikit pergelutan ketika ditahan.

"Kejadian itu bukan kali pertama berlaku malah wanita berkenaan sering mengamuk kerana dia mengambil dadah," katanya.

Menurutnya, anak lelaki mangsa juga sering ke rumah ibunya kerana bimbang dengan keselamatan mangsa dan tiga anak suspek berusia sembilan, tujuh dan lima tahun.

Katanya, suami mangsa meninggal dunia baru-baru ini dan polis merampas pisau berhulu besi disyaki digunakan suspek.

Noorzainy berkata, suspek yang ditahan dibawa ke IPDSPU untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, wanita berkenaan mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah serta jenayah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 11:08 AM