BOT Melaka River Cruise menyusuri Sungai Melaka, tahun lalu. FOTO arkib NSTP
BOT Melaka River Cruise menyusuri Sungai Melaka, tahun lalu. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

PERBADANAN Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menyasarkan seramai 1.2 juta pengunjung menggunakan perkhidmatan Melaka River Cruise (MCR) tahun ini dengan sasaran kutipan berjumlah RM25 juta.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, lebih 1 juta pengunjung direkodkan menggunakan perkhidmatan berkenaan dan kutipan bagi perkhidmatan itu mencapai sasaran RM20 juta tahun lalu.

Beliau berkata, sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020), PPSPM juga melaksanakan peraduan cabutan bertuah bulanan dengan menawarkan hadiah lumayan bagi menarik lebih ramai kehadiran pelancong.

Menurutnya, langkah itu juga sebagai penghargaan kepada mereka yang memeriahkan industri pelancongan di negeri ini.

"Acara cabutan bertuah tahunan Cruise & Win sudah dilaksanakan sejak 2017 bagi merancakkan lagi kehadiran pengunjung, PPSPM mengambil inisiatif mengadakan cabutan bertuah bulanan mulai Ogos lalu.

"Untuk rekod sebanyak RM306,933 berjaya diperoleh menerusi perkhidmatan MRC sepanjang Disember lalu untuk penyertaan cabutan bertuah bulanan, manakala RM490,724 diperoleh bagi penyertaan peraduan Cruise &Win dari Jan hingga Dis 2019," katanya ketika berucap sempena Majlis Penghargaan ‘The Grand Cultural Festival Melaka’ (CGF) 2019, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Azlan Abidin dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri Melaka, Zairi Suboh.

Muhammad Jailani berkata, PPSPM turut mengambil inisiatif antaranya pengindahan lampu membabitkan sepanjang Sungai Melaka selain menggantikan bot dengan bot baharu bagi meningkatkan mutu perkhidmatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi fokus membantu kerajaan persekutuan menjana kira-kira RM100 bilion pendapatan kepada negara menerusi industri pelancongan dengan sasaran kemasukan 30 juta pelancong ke Malaysia.

"Bagi memastikan sektor pelancongan terus berkembang, kerajaan negeri berusaha untuk menambah baik sektor teraju utama dalam industri pelancongan seperti kulinari, produk pelancongan di Melaka selain kemudahan dan infrastruktur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 6:16 PM