MAYAT wanita berusia 30-an yang meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangi bersama seorang kanak-kanak terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Parit Panjang. FOTO Ihsan Bomba
MAYAT wanita berusia 30-an yang meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangi bersama seorang kanak-kanak terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Parit Panjang. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


WANITA maut manakala anak lelakinya parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan Mitsubishi Storm di Jalan Kampung Tembak di Baling, malam tadi.

Dalam kejadian 9 malam itu, mangsa, warga Thailand, Miss Laila Hayi berusia 30-an dilaporkan maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, manakala anak mangsa berusia sembilan tahun dilaporkan parah dan kini sedang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa dari arah Parit Panjang menghala ke Kuala Ketil sebelum motosikal mangsa memasuki laluan bertentangan kerana mengelak haiwan yang melintas.

“Kejadian itu mengakibatkan mangsa bertembung dengan kenderaan itu dari arah bertentangan mengakibatkan mangsa maut serta merta.

“Pemandu kenderaan itu iaitu lelaki berusia 27 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke HSAH untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan(APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan 9.09 malam berhubung kemalangan itu.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Shuib Abd Rahman tiba di lokasi 9.34 malam.

“Setibanya di lokasi didapati kanak-kanak itu sudah dihantar orang awam ke hospital, manakala ibunya dilaporkan sudah meninggal dunia. Operasi tamat pada 10.08 malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 12:11 PM