Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: Seorang penumpang maut manakala dua lagi parah selepas bas ekspres dinaiki 28 orang itu terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 246.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai Zaiton Mohd Shariff, 59, manakala dua lagi penumpang yang parah ialah Mohd Sukairi Wan Mustapha, 39, dan Mohamad Taufiq Osman, 23.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, siasatan awal mendapati bas dalam perjalanan dari Perlis ke Putrajaya itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang besi di tepi lebuh raya sebelum melanggar belakang treler terbabit.

Menurutnya, mangsa yang terkorban dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan dua lagi mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.

"Penumpang lain dan pemandu bas itu tidak mengalami kecederaan. Bagaimanapun, kita menahan pemandu terbabit untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan(APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 11:27 AM