MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menerima kehadiran Nadzrul Zarfan Sharul Azly, 10, kanak-kanak yang tular selepas suratnya meluahkan rasa kecewa tidak dapat solat di saf pertama pertemuan di Pejabat Menteri di Putrajaya pagi ini. FOTO NSTP
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menerima kehadiran Nadzrul Zarfan Sharul Azly, 10, kanak-kanak yang tular selepas suratnya meluahkan rasa kecewa tidak dapat solat di saf pertama pertemuan di Pejabat Menteri di Putrajaya pagi ini. FOTO NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


“SAYA berbual mesra dan mengenali adik ni dengan dekat, masyaAllah auranya dapat saya rasa, kanak-kanak berusia 10 tahun ini dikurniakan Allah SWT keberanian dan kepetahan,” itu reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Muhajid Yusof ketika menerima kehadiran Nadzrul Zarfan Sharul Azly, di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.

Perkara itu dikongsi Mujahid di Facebook (FB) peribadinya pagi ini beserta tiga keping gambar yang memaparkan beliau menyantuni Nadzrul Zarfan bersama ahli keluarga kanak-kanak itu.

Nadzrul Zarfan menarik perhatian netizen apabila suratnya meluahkan rasa tidak puas hati kerana dihalau untuk solat di saf pertama, tular di laman sosial sebelum mendapat reaksi daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Mujahid berkata, beliau gembira menerima kehadiran Nadzrul Zarfan dan kagum dengan kepetahan dan keberanian kanak-kanak berkenaan.

“Dalam perbualan saya, dia cerita tentang idolanya, antara disebut Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri). Menurutnya, walaupun pada usia 94 tahun tapi masih sihat memimpin dan membangunkan Malaysia.

“Individu kedua disebutnya adalah Mufti Wilayah Persekutuan yang disifatnya seorang yang berilmu dan bijak menjawab permasalahan isu masyarakat dengan hikmah dan penuh fakta.

“Adik ni juga sangat mengagumi Sultan Muhammad Al-Fateh yang berjaya memimpin tenteranya membuka Kota Konstantinopel menjadi Istanbul sekarang. Saya terpegun melihat kepetahan dia bercerita tentang kisah Muhammad Al-Fateh,” katanya.

Katanya, kanak-kanak ini juga mempunyai cita-cita yang mulia dan berhasrat menyambung pelajaran di Universiti Madinah untuk bergelar pensyarah malah turut menyimpan impian untuk menjadi Mufti Wilayah Persekutuan suatu hari nanti.

Mujahid berkata, pada akhir pertemuan, kanak-kanak itu sempat sampaikan salamnya kepada Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

“Dia juga sudah titipkan surat untuk diberikan kepada Tun Dr Mahathir dengan harapan dapat bertemu pemimpin idolanya itu,” katanya.

Sebelum ini, Zulkfli memuji tindakan Nadzrul Zarfan yang mengutuskan surat kepada pengurusan sebuah surau selepas dihalang untuk solat di saf pertama baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan kanak-kanak itu untuk solat di saf hadapan sesuatu yang baik kerana dapat mempelajari cara solat yang betul daripada jemaah dewasa.

Berita berkaitan

Mufti ada hadiah untuk adik Nadzrul

'Beri kecelikan pada agamawan, ustaz' - Mufti

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 2:10 PM