Nor Ain Mohamed Radhi; Ahmad Suhael Adnan dan Zarul Fitri Muhd Zamrie


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa kecewa dengan sikap agamawan tertentu yang mengkritiknya secara melulu tanpa menunggu penjelasannya terlebih dahulu.

Ia susulan laporan The Star yang memetiknya sebagai berkata, pihak berkuasa agama tidak akan lagi mengetuk dan memecahkan pintu pada waktu malam untuk menyiasat dan menjalankan operasi khalwat serta aktiviti maksiat lain.

Mujahid berkata, golongan agamawan itu sepatutnya meminta atau menunggu penjelasannya terlebih dahulu sebelum memberi pandangan berhubung perkara itu jika mereka menghormatinya.

“Ada sesetengah orang tidak tengok transkrip penuh (yang dimuat naik di Facebook Mujahid), hanya ambil tajuk lalu maki hamun dan cerca.

“Macamlah menteri agama ini bodoh sangat, macamlah menteri agama ini tak ada agama dalam diri dia.

“Kalau yang cakap itu orang di media sosial saya tidak kisah kerana bukan peringkat kita nak bincang dengan mereka, tetapi ada yang bercakap ini agamawan, mereka yang dihormati masyarakat.

“Paling tidak, ambillah sikap meminta penjelasan daripada menteri dulu apa sebenarnya yang dikata, jika kita hormat pada dia.

“Akhirnya apabila saya tegur kesilapan tajuk itu dan minta mereka baca transkrip sepenuhnya, sekarang mana nak letak muka,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Meja Bulat Falsafah dan Tatacara Hukuman Jenayah Syariah Dalam Mencapai Matlamat Rahmatan Lil Alamin di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS), Prof Mohammad Hashim Kamali.

Mujahid menegaskan, tidak mempertikai kuasa jabatan agama membanteras aktiviti maksiat, sebaliknya membangkitkan bagaimana ia boleh dilaksanakan secara lebih bertanggungjawab serta tidak mencemarkan prinsip Islam sebagai rahmatan lil alamin (rahmat buat seluruh alam).

“Saya tidak akan cakap melainkan tahu apa yang saya bicarakan. Jangan pandang rendah orang, kita semua mesti terbina di atas pengetahuan,” katanya.

Sebelum ini, laporan The Star memetik Mujahid berkata, apa yang dilakukan orang Islam di sebalik pintu tertutup bukan urusan kerajaan, mencetuskan polemik dengan pelbagai pihak termasuklah ahli politik, mufti dan badan bukan kerajaan (NGO) tampil mengkritik serta menyokong kenyataannya.

Antara yang menentang keras kenyataan itu termasuklah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad dan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula mempertahan dan senada dengan kenyataan Mujahid, manakala Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar pula, mengambil pendekatan mahu menunggu kenyataan lanjut daripada Mujahid sebelum mengulas isu berkenaan.

Bagaimanapun, Mujahid kelmarin tampil menafikan ada mengeluarkan kenyataan mahu menghentikan ‘ketukan pintu pada waktu malam,’ ketika ditemu bual wartawan The Star, dan mendakwa perkara itu dirumus sendiri media berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 12:19 PM
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof. FOTO Zunnur Al Shafiq